Kisah ini terjadi pada penghujung Jun, tahun 2010 lalu. Ketika itu aku dan adik beradik berpakat untuk menjaga ibu secara bergilir-gilir di hospital. Ibu dimasukkan ke hospital kerana tekanan darah tinggi.
Kesihatan ibu memang agak merosot kebelakangan ini, sehinggalah dia terjatuh ketika memasak di dapur. Lantas abangku membawanya ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Setelah diperiksa, doktor menyarankan agar ibu ditahan sementara untuk rawatan lanjut.
Memandangkan hanya aku seorang sahaja yang baru habis sekolah dan masih tidak bekerja, jadi tugas menjaga di waktu malam diserahkan kepadaku. Aku tidak membantah. Memang seharusnya itu menjadi tanggungjawabku sebagai anak bongsu yang memang rapat dengannya.
Hari pertama dan kedua ketika menemani ibu tiada apa perkara pelik yang berlaku. Namun pada malam ketiga barulah segalanya bermula.
Begini ceritanya…
Suasana malam itu cukup sunyi. Yang kedengaran hanyalah bunyi deruan angin yang keluar dari pendingin hawa berhampiran. Sesekali aku menggosok hidung kerana kurang selesa dengan bau ubatan yang menerobos ke rongga hidung.
Jam sudah menunjukkan 12 malam. Aku jeling ke arah ibu yang sedang lena tidur. Sesekali aku mengeliat meluruskan urat saraf yang terasa kejang. Memang rasa kurang selesa jika tidur dalam keadaan duduk di kerusi.
Ketika menemankan ibu, aku bukannya boleh tidur lena kerana kebiasaannya waktu tengah malam ibu kadang kala akan tersedar dan meminta bantuanku untuk ambil air minuman atau temankannya ke tandas, jadi aku kena sentiasa bersedia.
Sedang asyik mengelamun, tiba-tiba aku rasa perut memulas. Aku bingkas bangun dari kerusi dan perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke tandas. Aku berjalan dengan penuh berhati-hati agar pergerakanku tidak disedari oleh pesakit lain yang sedang lena tidur.
Keadaan di tandas cukup sunyi. Tiada seorang pun yang berada di situ. Aku masuk ke bilik air paling hujung kerana fikir lebih selesa untuk membuang air.
Sambil membuang air aku belek-belek telefon bimbit di tangan. Tiba-tiba aku tersentak. Lampu tandas tiba-tiba terpadam. Sangkaku pastinya jururawat bertugas menutupnya.
Belum sempat aku keluarkan suara untuk beritahu yang aku berada di situ, tiba-tiba lampu menyala semula. Aku tarik nafas lega. Namun tidak sampai beberapa saat kemudian, lampu tersebut padam kembali.
Sekali lagi aku terkejut. Dalam hati rasa menyirap juga. Mungkin ada yang gatal tangan sengaja ingin mengusikku.
“Oiii… kat dalam tandas ni ada oranglah!” jeritku.
Walaupun jeritanku tidak berapa kuat, namun rasanya sudah cukup jelas untuk didengari. Maklumlah keadaan waktu itu cukup sunyi sepi.
Lampu tandas kembali menyala. Betul sangkaanku. Selepas aku jerit tadi terus elok seperti biasa. Nampak sangat ada yang gatal tangan.
Selepas selesai membuang air, aku keluar menuju ke sinki. Tiba-tiba aku tergamam. Kedengaran bunyi air dipam dari tandas di belakangku. Aku toleh, nampak pintunya tertutup rapat. Mungkin ada orang di dalamnya, bisik hatiku.
Sebaik ingin melangkah keluar, tiba-tiba telingaku menangkap bunyi siulan dari tandas tersebut. Aku berhenti dan amati bunyi tersebut. Sah, bunyi siulan tersebut datangnya dari tandas tertutup tadi.
Tetapi kali ini aku lihat pintunya sedikit renggang. Aku beranikan diri. Perlahan-lahan aku tolak pintu tersebut.
Krekkkkkkkkk…
Sebaik sahaja pintu terbuka, jantungku terus terasa ingin luruh. Kakiku menggeletar dan mulut terlopong tanpa sepatah kata.
Di hadapanku kelihatan satu lembaga berwarna hitam dan berambut panjang sedang bertenggek di atas mangkuk tandas. Lidahnya terjulur panjang dan bola matanya merah menyala memandang tepat ke arahku.
Ditangannya pula kelihatan seperti dia sedang memegang seketul daging dipenuhi darah. Sesekali mulutnya menyeringai luas hingga menampakkan giginya yang berceracak tajam.
Aku berasa seperti hendak pengsan. Tubuhku menggigil dan kaki terasa lemah longlai. Aku cuba kumpulkan kekuatan untuk membaca ayat suci al-Quran namun mulut seakan terkunci.
Dengan sedikit kekuatan yang ada aku berlari meninggalkan tandas dan terus menuju ke katil yang menempatkan ibu.
Aku mencungap ketakutan. Peluh membasahi tubuh dan jantung berdegup laju. Rasanya ingin sahaja aku kejutkan ibu dan beritahu apa yang terjadi tetapi rasa kasihan pula. Takut nanti lain pula jadinya.
Ketika itu aku terfikir untuk pergi ke kaunter dan memberitahu dengan jururawat yang bertugas, tetapi takut pula kalau mereka tak percaya dan menyangka aku sengaja mengada-adakan cerita. Entah-entah silap haribulan aku pula yang mereka tertawakan.
Aku cuba mengawal emosi dengan membaca ayat suci al-Quran. Sehingga ke pagi aku tak boleh melelapkan mata kerana masih terfikirkan kejadian tersebut. Aku tak sabar menunggu hari siang untuk hilangkan keresahan yang melanda diri ketika itu.
Aku bersyukur kerana ibu tidur lena hingga ke pagi. Kalaulah dia tersedar dan meminta aku membawanya ke tandas, entah apalah alasan yang perlu aku berikan. Aku takut kalau kejadian tadi berulang lagi.
Sebaik matahari terbit, ibu tersedar dari lena. Dia terkejut melihatku yang masih tidak tidur ketika itu. Aku lantas memberikan alasan baru pulang dari tandas. Tidak sampai hati untuk aku menceritakan apa yang berlaku malam tadi.
Suasana sibuk di hospital pagi itu sekali gus menghilangkan perasaan seram yang terjadi malam tadi. Namun yang menjadi masalah besar buatku adalah di waktu malam nanti.
Bagaimana aku ingin memberi alasan kepada adik beradikku untuk tidak menemani ibu malam nanti. Bukannya aku ingin lari daripada tanggungjawab, tetapi apa yang berlaku malam tadi cukup meninggalkan kesan mendalam terhadapku. – Mingguan Malaysia










