Isu bahasa: Kritikan biar berasas, faham konteks secara keseluruhan

Isu bahasa: Kritikan biar berasas, faham konteks secara keseluruhan

ANWAR Ibrahim dalam ucapan di Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bukan sahaja mengiktiraf kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi menekankan pemerkasaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. – FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM satu laporan sebuah portal bertajuk Bekas MP DAP sekolahkan Anwar cara perkasakan bahasa Melayu kelmarin, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming, dilaporkan mengkritik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana membentangkan naratif negatif berkenaan dengan penggunaan bahasa Melayu.

Kian Ming berkata, mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam pelbagai kehidupan harian mungkin berbuat demikian atas sebab-sebab lain dan bukan kerana memperkecilkan penggunaan bahasa itu atau memperlekehkan penggunaannya dalam tetapan rasmi.

Menurutnya lagi, Anwar seharusnya memberikan naratif positif tentang penggunaan bahasa Melayu, bukan menekankan perkara negatif kerana ini akan menggalakkan lebih ramai orang untuk menggunakan bahasa itu untuk manfaat mereka, bukannya kerana paksaan.

Walau bagaimanapun, kritikan beliau terhadap ucapan Anwar dalam Majlis Perasmian Sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) sempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2024 sebenarnya tidak perlu kerana ia tidak berasas.

Sebagai seorang terpelajar yang mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD), Kian Ming tidak boleh memberi komentar berdasarkan liputan media semata-mata sebaliknya perlu mendengar keseluruhan ucapan dan memahami konteks penuh yang disampaikan Anwar.

Dalam ucapan tersebut, Anwar menegaskan betapa pentingnya penguasaan pelbagai bahasa utama dunia termasuk bahasa Inggeris, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Arab tanpa mengenepikan kedudukan utama bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Jelas dalam ucapan Anwar penegasan mengenai kepentingan bahasa Inggeris, antaranya ialah:
• “Saya antara yang menekankan keperluan penguasaan bahasa Inggeris dalam dunia yang mencabar.
• “Tidak ada negara yang kian meningkat maju yang akan menyisihkan mana-mana bahasa utama di dunia”.
• “Tidak ada sesiapa dan saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan penekanan atau meremehkan kepentingan bahasa Inggeris”

Kian Ming sebaliknya hanya menumpukan kepada satu bahagian dalam ucapan Anwar, tentang ‘sikap sebahagian elit’ yang terlalu taksub dengan bahasa Inggeris sehingga meminggirkan bahasa Melayu.

Apa yang ditegur Anwar hanyalah sikap sebahagian elit yang mempunyai satu fobia terhadap bahasa Melayu, terlalu mengagungkan bahasa Inggeris serta terlalu ghairah dan obsesi terhadap penguasaan bahasa kedua itu seolah-olah hidup, kejayaan dan kepintaran kita hanya kerana penguasaan bahasa Inggeris.

Ini bukanlah satu serangan terhadap semua pengguna bahasa Inggeris seperti yang disangka Kian Ming, tetapi lebih kepada satu peringatan bahawa kita tidak seharusnya melupakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, walaupun kita ingin menguasai bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain.

Inilah yang disebutkan oleh Anwar: “Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya mahu ingatkan mereka, hidup mereka di Malaysia dan mereka bertanggungjawab bukan dalam kalangan kelompok elit kecil, tetapi mereka mesti mewakili hasrat dan aspirasi rakyat Malaysia keseluruhannya.”

Anwar menekankan bahawa memartabatkan bahasa Melayu tidak bermaksud mengetepikan bahasa Inggeris, sebaliknya kedua-dua bahasa ini memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Penguasaan bahasa Inggeris perlu dalam konteks ekonomi dan komunikasi antarabangsa, manakala bahasa Melayu pula adalah tunjang identiti nasional dan perpaduan.

Justeru Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan sejak 1956 berperanan bagi membina dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu pengetahuan dan bahasa pemersatuan kaum negara ini.

Ini adalah satu kenyataan yang relevan dan tepat, terutama dalam konteks Malaysia yang pelbagai budaya dan bahasa. Anwar ingin mengingatkan bahawa penguasaan bahasa Melayu adalah penting untuk memastikan perpaduan nasional, sementara penguasaan bahasa Inggeris adalah penting untuk mencapai kejayaan dalam ekonomi dan bidang lain.

Sikap yang ditekankan oleh Anwar untuk mencapai keseimbangan. Untuk maju, Malaysia tidak boleh menyisihkan mana-mana bahasa, tetapi pada masa sama, kita tidak boleh lupa bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan dan kedudukannya dalam perlembagaan adalah sesuatu yang tidak boleh dipertikai.

Bagi Anwar, cabaran utama yang perlu dihadapi adalah memastikan setiap rakyat Malaysia, tanpa mengira latar belakang kaum atau status sosial dapat bersatu di bawah satu bahasa kebangsaan sambil tidak mengetepikan keperluan penguasaan bahasa lain.

Apa yang mungkin tidak difahami Kian Ming adalah Anwar tidak menafikan keperluan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi beliau lebih menekankan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi harus terus diperkasakan. Perdana Menteri menekankan bahawa ini bukanlah masalah bagi rakyat biasa, tetapi lebih kepada sebahagian kecil elit yang tercabut dari akar tradisi, budaya, bangsa dan negara.

Anwar tidak menyerang mereka yang menggunakan bahasa Inggeris dalam urusan harian, terutamanya dalam sektor korporat, akademik atau perkhidmatan awam.

Malah, Anwar secara jelas menyatakan penguasaan pelbagai bahasa, termasuk bahasa Inggeris adalah satu aset. Apa yang dikritik Anwar adalah sikap golongan elit yang terlalu taksub dengan BI sehingga memandang rendah kepada penggunaan BM.

Kian Ming juga memetik beberapa contoh penggunaan bahasa Inggeris secara meluas dalam mesyuarat syarikat-syarikat tersenarai dan persidangan akademik, namun Anwar tidak pernah mencadangkan supaya bahasa Melayu digunakan dalam semua situasi ini.

USAHA SAMA
Sebaliknya, Anwar menyeru kepada usaha bersama, termasuk sektor swasta untuk memperkasa bahasa Melayu dalam kehidupan seharian, sambil terus mengiktiraf kepentingan bahasa Inggeris dalam konteks yang sesuai.

Ringkas, kritikan Kian Ming terhadap ucapan Anwar tidak berasaskan kepada pemahaman penuh tentang konteks ucapan tersebut. Anwar bukan sahaja mengiktiraf kepentingan penguasaan bahasa Inggeris, tetapi juga menekankan bahasa Melayu perlu diperkasakan sebagai bahasa kebangsaan yang menghubungkan semua rakyat Malaysia.

Ini bukan soal pemaksaan, tetapi satu tanggungjawab bersama untuk memastikan perpaduan nasional dan pembangunan budaya yang berteraskan identiti kita sebagai rakyat Malaysia.-UTUSAN

DATUK Dr. Anwar Ridhwan ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Sasterawan Negara ke-10.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×