Nasihat ibu, bapa suntik kejayaan Ustazah Asma’ Harun - Utusan Malaysia

Nasihat ibu, bapa suntik kejayaan Ustazah Asma’ Harun

USTAZAH ASMA' HARUN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Berwajah tenang dengan budi bicara lembut, namun tegas bagi memastikan mesej dakwahnya mampu terkesan dan menusuk ke dalam sanubari.

Gaya penyampaian pendakwah, Ustazah Asma’ Harun, dengan suntikan humor itu, dicorakkan arwah bapa dan datuknya, Harun Ismail dan datuknya, Ustaz Awang Abu Bakar.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Asma’ berkata beliau membesar dengan melihat bapa dan datuknya yang memang handal berceramah menggunakan pendekatan santai dengan bahasa mudah difahami.

“Arwah ayah adalah seorang penceramah dan peniaga yang sangat berjaya, walaupun tidak mempunyai latar belakang pengajian Islam, ayah mempunyai semangat tinggi dalam menuntut ilmu serta banyak menghafal hadis dan al-Quran.

“Arwah atuk pula seorang pendakwah yang dikenali dengan panggilan Ustaz Awang Jidin ‘Tukul Besi’ kerana kelantangan dan ketegasan beliau dalam menentang amalan tahyul dan khurafat pada sekitar tahun 1960-an,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di Galeri Ustazah Asma’ Harun di Senawang, Seremban, Negeri Sembilan baru-baru ini.

Justeru Asma’ yang sinonim dengan panggilan ‘Ustazah UAH’, apa yang masyarakat lihat pada dirinya kini adalah sebahagian besarnya adalah jasa ayah dan juga ibu, Fikriah Awang, 58.

“Masa mula belajar ceramah dulu, ayah study lebih teruk daripada saya dengan membuat nota. Lepas itu ayah akan call dua jam, berkongsi firman dan hadis sesuai dalam ceramah saya. Waktu itu ayah di Terengganu dan saya di Seremban,” katanya mengimbau kenangan.

Asma’ memberitahu emak pula lebih sering menasihati caranya berpakaian.

“Beliau sentiasa menyokong usaha dakwah saya lakukan hingga kini,” katanya. Ibunya ialah guru sains dan fizik.

Pelbagai program dianjurkan memfokuskan golongan asnaf dan mualaf.

Asma’ pernah berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Halal Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) pada 2017 sebelum bergerak secara aktif sebagai pendakwah bebas pada 2019.

Bagaimanapun, dalam nada sedih Asma’ memberitahu, arwah bapanya yang meninggal dunia pada pertengahan tahun 2018 selepas dua tahun bertarung dengan penyakit kanser tidak dapat melihat kejayaannya pada tahap sekarang.

Menyentuh soal ketegasan, Asma’ berkata, ketegasan tidak bermaksud beliau hilang kelembutan sebaliknya ia perlu digunakan secara berhemah.
“Ada sisi saya yang lembut dan ada sisi tegas. Tegas yang berhemah tanpa perlu maki hamun atau menghina,” ujarnya.

MEDIA SOSIAL
Asma’ aktif berdakwah menggunakan platform media sosial turut memiliki lebih 500,000 pengikut di Facebook.

Sebagai langkah pertama beliau menunjukkan ketegasan pada jalan kebaikan dengan menentang segala perbuatan nahi mungkar.

Malah video muzik penyanyi Ayda Jebat, Parah Parah turut pernah menjadi teguran kerana kurang dan tidak peka dengan keadaan semasa.

“Sebelum mengeluarkan kenyataan dan teguran saya terlebih dahulu meminta pandangan suami.

“Suami kata kalau As (panggilan mesra untuknya) melakukan perkara tidak betul dan silap, abang sendiri yang akan tegur, selagi mana kita berada di jalan yang betul teruskan,” katanya.

Ibu kepada tujuh orang cahaya mata ini memberitahu beliau bersyukur dikurniakan suami amat memahami dan bertolak ansur.

“Suami pernah menitipkan bahawa beliau reda bahawa isterinya bukan milik dirinya tetapi milik ummah.

ASMA’ Harun dikurniakan tujuh orang anak hasil perkongsian hidup dengan suami, Tengku Fazli Tengku Jaya.

“Apabila saya lemah, dicaci dimaki kerana meletakkan diri sebagai public figure, (insan dikenali), maka saya tidak dapat lari daripada cabaran tetapi saya tidak boleh mengalah,” katanya.

Selain berceramah, beliau turut menumpukan dalam bidang perniagaan menerusi syarikat miliknya Hijrah Excel AF Sdn. Bhd. (HEAF). Ia ditubuhkan dalam membantu pelaksanaan program di bawah
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bernama Sahabat Amal Care yang memfokuskan golongan asnaf dan mualaf.

“Allah bukakan pintu rezeki dengan penerbitan buku pertama saya Sahabat Dunia Akhirat yang terjual lebih satu juta dengan keuntungan bersih RM500,000.

“Kami tidak menggunakan rezeki itu untuk perkara yang lain, melainkan mengembalikan semula kepada gerak kerja dakwah dan amal,” katanya.

Walaupun ia dibangunkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak sampai setahun beroperasi, ia mampu mengambil sehingga 55 pekerja.

Syarikat ditubuhkan pada 8 Julai 2020 itu bergiat aktif dalam menjalankan kerja-kerja penjualan pakaian, buku, makanan sunah dan minuman.

Bersungguh dalam jihad ekonomi, Asma’ berkata, syarikatnya menyediakan tenaga kerja dan menjana sumber ekonomi dengan tujuan ‘Membeli Sambil Memberi’.

“Saya yakin dengan berkongsi rezeki dengan ramai orang lebih banyak Allah buka jalan untuk ruang-ruang rezeki,” katanya.

Jadikan Ramadan kali ini yang terbaik
Asma’ mengajak seluruh umat Islam memasang strategi menjadikan Ramadan kali ini pada tahap terbaik.

Katanya, semua orang Islam perlu meletakkan azam dalam diri untuk benar-benar mengisi bulan ini dengan ibadah dan amal kebaikan agar Allah SWT mengurniakan keampunan di dunia dan akhirat.

“Sekiranya kita masih mempunyai kesempatan untuk bertemu dengan bulan Ramadan, ambillah peluang ini untuk memohon keampunan daripada Allah atas dosa-dosa kita yang lalu.

“Letakkanlah kesungguhan dalam diri untuk menghayati dan menghidupkan Ramadan kali ini seolah-olah kita tidak lagi bertemunya,” katanya.

Selain itu, katanya usah berkira-kira untuk memperbanyakkan doa sepanjang berpuasa.

Menurutnya, Nabi Muhammad SAW telah bersabda di dalam hadis baginda yang bermaksud tiga golongan doa mereka tidak akan ditolak: Imam yang adil, orang yang berpuasa sehingga dia berbuka dan doa orang yang dizalimi. (Riwayat Ibnu Majah).

Katanya, umat Islam perlu memanjatkan doa semoga Allah memberikan rezeki buat diri, keluarga serta seluruh umat Islam di seluruh dunia selain diberi kesihatan serta kesejahteraan yang baik dalam menempuhi bulan Ramadan.

Berikut 10 Azam Ramadan oleh Asma’.

10 AZAM RAMADAN
 Berpuasa penuh
 Tidak meninggalkan sahur
 Banyakkan berdoa
 Melazimi bacaan al-Quran
 Memperbanyakkan memohon keampunan
 Menyegerakan berbuka
 Menghidupkan malam dengan ibadah
 Sedekah setiap hari walaupun sedikit
 Memberi makan orang berbuka
 Menjaga tutur kata

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN