TAHUN 70-an memperlihatkan guru mengajar menggunakan alat bantu mengajar seperti model, sempoa, batang lidi, batang aiskrim, biji saga dan seumpamanya. Alat bantu mengajar yang demikian masih lagi memerlukan guru dan murid menggunakan daya fikir untuk membuat analisis, menilai dan justifikasi.
80-an dan seterusnya pula memperlihatkan perubahan teknologi dalam dunia pendidikan melalui penggunaan mesin kira, projektor dan kamera. Teknologi yang ada tersebut berubah lagi apabila dunia pendidikan beralih pula kepada teknologi visualizer. Kini dunia pendidikan bertambah maju dan canggih apabila berlakunya terjahan revolusi teknologi sistem pengatucaraan, robotik dan kecerdasan buatan (AI).
Pendidikan era analog menunjukkan sekolah dan guru merupakan pusat bagi memberikan ilmu pengetahuan dan kemahiran. Sekolah dan guru juga menjadi pusat bagi menyemai dan menanam nilai diri selain kemasyarakatan. Sekolah umpama kilang dan guru sebagai operator bagi memasang ilmu, kemahiran dan nilai pada murid mengikut fasa yang ditetapkan.
Sehubungan dengan ini, sekolah dan guru mempunyai kurikulum yang ditetapkan dengan rigid pada aspek kandungan mahupun tempoh masa. Murid pula mesti sentiasa akur dengan ketetapan sekolah dan guru. Hal ini menjadikan murid tidak memiliki kebebasan dan wujud keterpaksaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP). Murid yang tidak mematuhi ketetapan dan aturan dalam proses pendidikan, mereka akan melalui proses hukuman.
Pendidikan era digital memperlihatkan hubungan dan kesalinghubungan. Ini bermakna murid diberikan ruang yang luas untuk berhubung dengan guru dan rakan bilik darjah mahupun rakan sekolah sepanjang proses PdP.
Malah, murid juga dipandu dan diberikan ruang untuk berhubung dengan guru dan rakan dari sekolah lain bagi memperoleh maklumat. Oleh hal demikian, murid diberikan kebebasan dan ruang yang luas untuk menggunakan aplikasi digital bagi meneroka laman sesawang mahupun berhubungan dengan mana-mana individu untuk mengakses maklumat serta ilmu pengetahuan.
Pendekatan pendidikan era digital memperlihatkan proses PdP berpusatkan murid. Murid mempunyai pilihan mengikut minat masing-masing dan tidak dihadkan dengan peraturan yang tidak relevan. Murid dipandu, dibimbing serta diberikan konsultasi dalam menentukan individu, laman sesawang, kaedah pembelajaran selain waktu bagi mengeksploitasi ruang hubungan dan kesalinghubungan tersebut.
Menerusi cara itu, murid juga berupaya membina nilai, kemahiran sosial, di samping karakter. Dalam hal ini, jelas menunjukkan guru dalam pendidikan era digital bukan sahaja mendidik tetapi berperanan sebagai fasilitator dan sebagai konsultan yang berwibawa.
Mereka yang biasa dan bebas meneroka maklumat, dokumentari serta permainan menerusi aplikasi digital sejak usia kecil akan selesa bahkan gembira kerana diberikan kebebasan meneruskan gaya hidup pilihan sewaktu PdP. Malah, mereka sendiri menentukan hubungan dengan guru, individu dan laman sesawang yang difikirkan dapat membantu proses pembelajaran.
Di peringkat Kementerian Pendidikan (KPM), guru memang digalakkan menggunakan teknologi maklumat (ICT) dalam PdP seperti penggunaan platform DELIMa. Untuk memastikan digital pendidikan terlaksana dengan teratur, Menterinya, Fadhlina Sidek melancarkan Dasar Pendidikan Digital KPM pada 28 November 2023.
Di samping itu, KPM juga menggalakkan aktiviti lawatan sambil belajar sebagai elemen bagi meningkatkan kualiti proses PdP. Aktiviti lawatan itu mengupayakan murid melihat, menganalisis dan menilai setiap maklumat mengikut keperluan masing-masing sambil memanfaatkan maklumat daripada sumber digital bagi memperkukuh pemahaman mahupun justifikasi.
LEBIH TERBUKA
Pendidikan era digital membawa konsep ruang pembelajaran dan penerokaan kandungan pembelajaran terbuka. Justeru, PdP bukan lagi terhad dan hanya ada di sekolah, guru atau buku teks. Sebaliknya, murid boleh belajar dengan meluas menerusi pelbagai sumber seperti akhbar, majalah, jurnal dan buku yang ada di pelbagai perpustakaan fizikal atau maya.
Ilmu pengetahuan, kemahiran dan nilai juga boleh diakses melalui pelbagai laman sesawang sama ada dalam atau luar negara. Penerokaan ilmu pengetahuan dan pemupukan nilai juga tidak terhad dalam bilik darjah atau pagar sekolah tetapi juga boleh berlaku di luar kawasan sekolah secara interaksi digital.
Sehubungan dengan ini, guru perlu pantas merangka pendekatan dan strategi pembelajaran dengan mengekploitasi kemajuan digital. Guru boleh memberikan tugasan dan mengarahkan murid mencari maklumat bagi menyelesaikan tugasan pembelajaran yang berkonsepkan projek, korporatif atau masteri.
Menerusi pendekatan pembelajaran ini, murid sama ada secara berseorangan atau berkumpulan akan meneroka pelbagai sumber maklumat secara dalam talian di pelbagai perpustakaan atau laman sesawang yang ada dalam negara atau di luar negara.
Konsep ilmu pengetahuan ada di mana-mana juga telah membolehkan murid meneroka ilmu pengetahuan menerusi aktiviti luar dari sekolah atau waktu sekolah selepas memperoleh maklumat daripada sumber digital.
Proses PdP yang disebutkan bukan sahaja memberikan ilmu pengetahuan tetapi juga menyemai dan memupuk nilai-nilai diri serta kemasyarakatan. Proses pembelajaran yang dilalui itu menarik bagi murid kerana ia tidak mengehadkan kreativiti, ruang tempat dan waktu.
Situasi ini juga menjadi model untuk murid belajar menerusi proses pembelajaran dunia sebenar. Oleh hal demikian, pentingnya guru untuk lebih berupaya memberikan bimbingan, panduan dan konsultasi kepada murid.
Pendidikan era digital berkonsepkan pembelajaran yang mengambil kira perbezaan murid dari aspek keupayaan ilmu pengetahuan, kemahiran, bakat dan minat. Hal ini berlaku kerana setiap murid mempunyai keupayaan dan potensi masing-masing dalam meneroka ilmu pengetahuan, kemahiran dan maklumat.
Sehubungan dengan ini, KPM sentiasa menggalakkan guru mengaplikasikan pendekatan pembelajaran terbeza dan teradun bersama-sama teknologi ICT bagi merealisasikan pendidikan berorientasikan pembangunan potensi murid dan konsep Pendidikan Abad Ke-21.
Sekali air bah, sekali pantai berubah merupakan pepatah yang sesuai untuk menilai nyala rasa guru antara era analog dan era digital. Penilaian semula ini penting bagi memastikan keberadaan guru masih relevan sebagai seorang pendidik, fasilitator dan konsultan.-UTUSAN
DR. Mohd. Azam Ahmad ialah Rektor Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).










