2 warga China sah terbunuh dalam letupan di Karachi

2 warga China sah terbunuh dalam letupan di Karachi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISLAMABAD: Kedutaan China di Pakistan mengesahkan dua rakyatnya terbunuh dalam satu letupan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa di bandar selatan Pakistan, Karachi, pada malam Ahad lalu. 

Menerusi kenyataan yang dihantar melalui e-mel kepada wartawan, kumpulan militan pemisah, Tentera Pembebasan Balochistan (BLA), mendakwa bertanggungjawab atas serangan itu. 

Kumpulan penyerang itu mendakwa melancarkan serangan menggunakan alat letupan buatan sendiri (IED) dan diletakkan dalam sebuah kenderaan, dengan menyasarkan warga China, termasuk jurutera.

Memuatkan artikel berkaitan…

Stesen penyiaran Pakistan, Geo News melaporkan sekurang-kurangnya 10 orang cedera dalam letupan itu, selain berlaku beberapa kematian.

Pihak Polis Karachi belum memberikan maklum balas terhadap permintaan untuk komen.

Kedutaan China memaklumkan konvoi dari Syarikat Kuasa Elektrik Port Qasim diserang berhampiran lapangan terbang.

“Kedutaan dan Konsulat Besar China di Pakistan mengutuk sekeras-kerasnya serangan pengganas ini, serta menyampaikan ucapan takziah yang mendalam kepada mangsa dari kedua-dua negara dan simpati yang tulus kepada mereka yang cedera serta keluarga mereka,” kata kenyataan itu. 

Kenyataan sama turut memaklumkan pihak China sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Pakistan susulan insiden tersebut.

BLA memperjuangkan kemerdekaan wilayah Balochistan yang terletak di barat daya Pakistan dan bersempadan dengan Afghanistan dan Iran.

Pada Ogos lalu, mereka melancarkan serangan berkoordinasi di wilayah itu, yang menyebabkan lebih 70 orang terbunuh.

BLA secara khusus menyasarkan kepentingan China, terutamanya pelabuhan strategik Gwadar di Laut Arab, dengan menuduh Beijing membantu Islamabad mengeksploitasi wilayah tersebut.

Sebelum ini, mereka membunuh warga China yang bekerja di kawasan itu dan pernah menyerang konsulat China di Karachi. -AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini