Greta Thunberg sertai protes pelajar di Perancis

Greta Thunberg sertai protes pelajar di Perancis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIS: Aktivis Sweden, Greta Thunberg menyertai pelajar sekolah menengah yang berkempen menuntut keadaan pembelajaran lebih baik di Perancis pada Selasa, menjelang demonstrasi baharu di seluruh negara ketika pihak berkuasa dan peserta bimbang keganasan mungkin berulang.

Thunberg, 23, yang terkenal ketika remaja kerana mengadakan mogok sekolah bagi menuntut tindakan terhadap perubahan iklim, berdiri bersama pelajar yang berhimpun di luar sebuah sekolah di Saint-Denis, lokasi tumpuan gerakan berkenaan.

Thunberg tiba di sekolah menengah Paul Eluard ketika sekumpulan peguam berjubah membentuk rantaian manusia bagi melindungi pelajar remaja susulan banyak dakwaan kekerasan polis.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Golongan muda tidak dilibatkan dalam perbincangan. Masa depan kami sedang dirampas,” katanya.

Mobilisasi itu, yang mendapat sokongan kesatuan sekerja dan parti pembangkang berhaluan kiri jauh, France Unbowed dijadual merangkumi perarakan tengah hari di Paris serta perarakan di bandar lain.

“Mereka tidak mendengar suara kami, jadi kami akan pergi kepada mereka,” tulis kesatuan pelajar universiti, l’Union étudiante, di platform X.

Pelajar Perancis berkata, mereka bertekad mendesak kerajaan menangani masalah terlalu ramai guru tidak hadir, bangunan sekolah yang usang, jadual pembelajaran yang terlalu padat serta rungutan lain.

Sejak bulan lalu, pelajar membakar tong sampah dan penghadang keselamatan di luar ratusan daripada 3,700 sekolah menengah di Perancis, yang kebanyakannya menempatkan pelajar berusia 15 hingga 18 tahun.

Demonstrasi menyokong pelajar pada Selasa dijadual disusuli perhimpunan awam lebih besar pada Sabtu bagi membantah peningkatan kos sara hidup.

Menurut Kementerian Kehakiman, lebih 6,800 orang, kebanyakannya remaja bawah umur dibawa ke tahanan polis sepanjang protes berlangsung.

Polis turut membuka siasatan dalaman terhadap 24 dakwaan kekerasan terhadap penunjuk perasaan.

Selepas demonstrasi di seluruh negara minggu lalu, kerajaan berjanji akan menempatkan kira-kira 3,000 guru ganti dalam beberapa hari akan datang bagi menggantikan kakitangan yang tidak hadir di 114 sekolah menengah paling terjejas.-AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini