Apabila ada saranan untuk mendedahkan kanak-kanak dengan pendidikan seksual, ramai yang memberikan pelbagai reaksi negatif. Ramai yang membantah dan tidak dapat menerima jika subjek pendidikan seks diajar kerana beranggapan mengajar kanak-kanak cara melakukan hubungan intim adalah bertentangan dengan budaya serta agama.
Pensyarah Fisiologi Fakulti Sains dan Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Dr. Rafidah Hanim Mokhtar berkata, hakikatnya pendidikan seksual dalam konteks terkini adalah satu pendidikan yang menyeluruh merangkumi pemahaman sains biologi.

“Apa yang diajar dalam pendidikan seksual adalah bagaimana sistem reproduksi atau peranakan berfungsi, memahami kesan psikologi dan kesihatan mental dalam berdepan dengan rangsangan serta gangguan seksual atau pornografi.
“Ia juga merangkumi nilai agama dan budaya serta norma masyarakat selain aspek undang-undang baik dalam perundangan Syariah mahupun Sivil. Bagaimanapun pendekatan dan penyampaian adalah berbeza mengikut tahap umur seseorang,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Katanya lagi, amatlah penting untuk setiap lapisan masyarakat memahami kepentingan pendidikan seksual kerana tidak dinafikan, remaja dan anak-anak hari ini sangat mudah terdedah kepada pelbagai ancaman seksual.
Antaranya seperti gangguan seksual, buli seksual, penderaan seksual, antun seksual, siber buli dan siber seksual, rogol statutori dan pelbagai lagi jenis ancaman seksual yang mungkin tidak terfikir oleh ibubapa.
Ironisnya, ada orang dewasa juga yang tidak tahu menahu mengenai jenayah-jenayah seksual di alam maya sehingga secara tidak langsung meletakkan anak masing-masing dalam risiko mangsa jenayah ini.
“Mereka sama ada membiarkan kanak-kanak dan remaja di bawah jagaan mereka terdedah kepada jenayah seksual ini atau mereka tidak menyedari perbuatan mereka, atas apa juga alasan, boleh ditakrifkan sebagai jenayah seksual.
“Ini termasuk melakukan perbuatan seperti mencium, menyentuh dan berinteraksi secara seksual dengan seseorang di luar daripada kerelaan kanak-kanak ataupun keizinan penjaga mereka,” katanya.
Tambahnya, ramai orang dewasa dan penjaga kanak-kanak tidak mengetahui mengenai Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Contohnya Seksyen 15(a)(iii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 iaitu melakukan perbuatan yang membawa maksud seksual dengan cara mengikuti, memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak secara berulang kali.
Seksyen 15(2) Akta Kanak-Kanak 2001 pula berkaitan kesalahan menyiarkan gambar kanak-kanak di media sosial yang secara tidak langsung mengundang kepada risiko kanak-kanak berkenaan menjadi mangsa pedofilia.
Info
Pelukan, ciuman dan belaian mungkin dianggap sentuhan selamat untuk anak kerana anak tidak faham bahayanya. Ibu bapa boleh mengikuti tip di bawah untuk membantu anak memahami sentuhan selamat dan tidak selamat:
Ajar anak
bahagian tubuh:
Sebaiknya mulakan sejak anak masih kecil semasa mandi atau ke kolam mandi awam.Ini membantu kanak-kanak lebih selesa untuk bercakap mengenai tubuh mereka dengan ibu bapa.
Ajar anak bahagian tubuh termasuk bahagian sulitnya dengan laras bahasa mudah difahami.
Tunjukkan bahagian yang tidak boleh disentuh oleh orang lain, diambil gambar atau ditunjukkan kepada orang lain.
Pastikan anak anda tidak berahsia mengenai sesiapa yang menyentuh mereka kerana pelaku biasanya akan mengumpan mereka dengan makanan seperti aiskrim atau gula-gula dan sebagainya.
Berbincang dengan mereka mengenai orang asing atau tidak dikenali seperti bahaya berbual atau mengikut orang tidak dikenali dan bahaya menaiki kenderaan orang tidak dikenali.
Ajar anak apa yang perlu dilakukan apabila orang lain cuba menyentuh mereka dengan sentuhan tidak selamat. Ini termasuk berkata ‘tidak’ atau menjerit.
Ajar anak untuk menghubungi sesiapa yang dipercayai jika dalam keadaan tidak selesa dan bahaya seperti menghubungi guru atau polis berhampiran.
Kenali sentuhan
Prof. Dr. Rafidah Hanim berkata, prinsip pendidikan seksual bagi kanak-kanak dan murid sekolah rendah, adalah sama tetapi hanya pendekatannya berbeza.
“Kanak-kanak perlu didedahkan dengan konsep memelihara tubuh badan mereka daripada disentuh oleh orang yang tidak dikenali. Mereka perlu diajar mengenai konsep sentuhan selamat atau tidak selamat.
“Amat penting juga kanak-kanak memahami, sentuhan tidak selamat juga termasuk oleh orang yang mereka kenali seperti penjaga, kawan-kawan, saudara mara dan sesiapa juga yang rapat dengan mereka, tidak boleh menyentuh mereka di bahagian tertentu atau kawasan tubuh lain,” katanya.
Katanya, bagi kanak-kanak mungkin susah untuk memahami konsep hak mereka dalam media sosial. Ini kerana budaya kita berfoto, berswafoto, mengambil video sesama keluarga dan kawan- menyebabkan mereka rasa perkara ini adalah normal.
“Ibu bapa dan guru perlu menegaskan larangan pelajar dan anak mereka dijadikan konten tanpa izin,” katanya.
Dr. Rafidah Hanim berkata, anak-anak perlu dipantau oleh ibu bapa sendiri dengan mengawal media sosial.Bagaimanapun, sepatutnya kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun dilarang mempunyai media sosial.
Pemilikan gajet adalah di bawah tanggungjawab ibu bapa dan ibu bapa perlu memantau gajet seperti telefon pintar, tablet dan komputer yang digunakan anak.
“Pendidikan seksual kini boleh diterima oleh masyarakat selagi kita memberi takrifan yang betul, iaitu pendidikan seksual yang berteraskan kekeluargaan dan dalam rangka perkahwinan yang sah,” terangnya. –UTUSAN










