KANGAR: Seorang bekas ahli Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH) mendedahkan dia sanggup berhabis ribuan ringgit semasa bersama kumpulan itu demi menyokong perjuangan gerakan berkenaan.
Lelaki berasal dari Johor yang dikenali sebagai Ahmad, 33, itu berkata, dia mula menyertai kumpulan tersebut pada 2009 dan ketika itu ditempatkan di Ibu Pejabat GISBH di Bandar Country Homes, Rawang, Selangor sebelum dipindahkan ke cawangan GISBH di Sarawak dengan ditugaskan sebagai setiausaha kerja bagi menguruskan perniagaan rangkaian kumpulan itu.
Katanya, dia menyerahkan jiwa dan raga demi GISBH malah tidak menerima gaji walaupun pada peringkat awal mereka memaklumkan akan membuat pembayaran.
“Pada fikiran saya ketika itu, waktu muda beginilah kita hendak berbakti pada agama dan para pengikut agak terfana apabila kumpulan ini membawa Islam dalam gerakan mereka,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabat Perlis Of Wisdom, di sini semalam.
Menceritakan lanjut, Ahmad berkata, selepas mengikuti GISBH selama beberapa tahun, dia kemudian mula merasakan sesuatu tidak kena dengan kumpulan berkenaan yang dilihat menyimpang daripada ajaran Islam.
Katanya, sewaktu dipindahkan ke pejabat GISBH di Endau, Mersing, Johor, pada tahun 2021, dia nekad untuk melarikan diri dan kemudian turut menyelamatkan dua isteri bersama anak bongsunya.
“Selepas saya melarikan diri, kisah hitam mula berlaku apabila saya tidak dibenarkan untuk berjumpa empat lagi anak saya hasil perkahwinan dengan isteri pertama kerana mereka telah dilarikan. Tiga tahun saya tidak dapat berjumpa anak-anak sehinggalah pihak berkuasa menemukan mereka menerusi Op Global yang dilaksanakan sekitar Perak baru-baru ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad berkata, dianggarkan terdapat 4,000 ke 5,000 ahli jemaah GISBH di seluruh negara ini malah sesiapa yang keluar daripada kumpulan itu juga dianggap sebagai musuh. – UTUSAN











