Terima kasih Azli Shah, anak kami dapat daftar universiti – Hasnizaa

Terima kasih Azli Shah, anak kami dapat daftar universiti – Hasnizaa

DR. Sharifudin Md. Shaarani (kanan) melihat keadaan Hariz Zaimuddin yang terlibat kemalangan ketika dia sekeluarga dalam perjalanan ke USIM di Nilai, Seremban, semalam. – UTUSAN/NOR SHAFAWATI YUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Perjalanan seorang pelajar untuk mendaftar masuk ke Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) diuji dengan musibah apabila kereta dinaiki bersama keluarga terbabas dalam kemalangan di Jalan Pintasan Kuantan-Kemaman dekat Gebeng, Kuantan di sini tengah malam kelmarin.

Di sebalik musibah yang berlaku, Hariz Zaimuddin, 19, berkata, ada insan berhati mulia dikenali sebagai ‘Azli Shah’ datang membantu mereka sekeluarga yang ditemui di tepi jalan.

Individu itu sanggup me­minjamkan kereta miliknya supaya Hariz dapat mendaftar masuk ke USIM semalam se­perti pelajar baharu lain.

Hariz berkata, kemalangan pada pukul 12.30 tengah malam itu berlaku ketika dia bersama ibu bapa dan tiga adiknya berusia empat hingga 12 tahun, dalam perjalanan dari rumahnya di Pasir Puteh, Kelantan ke USIM, Nilai di sini.

“Sampai di lokasi kejadian, kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Sienta dipandu ayah, Zaimuddin Hassan, 48, terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

“Ketika kejadian saya tidur, sedar sahaja sudah berlaku kemalangan dan terasa sakit di kepala dan pening,” katanya ditemui ketika proses mendaftar masuk pelajar baharu di USIM di sini, semalam.

Akibat kemalangan itu, Hariz pelajar pengajian Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam, mengalami lebam di kepala akibat terhantuk pada pendingin hawa kereta, manakala adik-adiknya pening dan muntah.

Sementara itu, ibunya, Hasnizaa Seman, 42, berkata, kemalangan berlaku sekelip mata dan ketika kejadian keadaan jalan agak gelap.

“Di sebalik ujian ini, Allah datangkan orang-orang baik yang membantu seperti ‘Azli Shah’, orang muda berusia 30-an yang sanggup bagi kami pinjam keretanya untuk datang ke USIM. Terima kasih kami ucapkan,” katanya.

Hasnizaa berkata, selepas membuat laporan polis mereka enam beranak berhasrat menaiki bas ke Nilai, tetapi nasib tidak baik apabila tertinggal bas dalam keadaan kelam kabut.

“Insan baik itu membelikan kami tiket bas secara dalam talian dan hantar ke Terminal Kuantan, tetapi kami tertinggal bas ketika sedang mengangkat beg.

“Kemudian tanpa fikir panjang, dia terus berikan kere­tanya untuk dibawa sehingga ke USIM, Nilai tanpa meminta sebarang bayaran kerana katanya niat untuk membantu kerana Allah,” katanya sebak.

Jelas Hasnizaa, Hariz anak sulung daripada enam beradik sebelum ini menuntut di Maahad Saniah Pasir Puteh, Kelantan turut mendapat tawaran ke Universiti Al-Azhar, Mesir tetapi memilih untuk menyambung pelajaran ke USIM.

Mereka sekeluarga tiba di USIM, Nilai sekitar pukul 11.30 pagi semalam dan Hariz sempat bersiap dan menukar pakaian di stesen minyak berdekatan.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Prof. Datuk Dr. Sharifudin Md Shaarani sempat meluangkan masa melawat Hariz sekeluarga dan pegawai perubatan USIM menjalankan rawatan awal terhadap mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×