Seronoknya belajardi sekolah berasrama penuh

Seronoknya belajar di sekolah berasrama penuh

PELAJAR bukan sahaja lebih fokus terhadap pembelajaran tetapi akan lebih berdikari sekiranya memilih untuk belajar di sekolah berasrama penuh.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BELAJAR di sekolah berasrama penuh sering kali menjadi impian ramai pelajar dan ibu bapa kerana ia menawarkan peluang pembelajaran yang lebih fokus dan teratur. Selain itu, persekitarannya mendukung pembentukan sahsiah diri. Pelajar yang memasuki sekolah ini bukan sahaja mendapat peluang akademik yang cemerlang, tetapi juga pengalaman hidup yang berharga.

Mereka belajar berdikari, menyesuaikan diri dengan suasana baharu dan menguruskan masa dengan lebih baik. Semua ini membantu memupuk disiplin diri yang amat penting dalam pembentukan peribadi pelajar.

Kelebihan utama belajar di sekolah berasrama penuh ialah tumpuan yang lebih tinggi terhadap pembelajaran. Dengan rutin yang ketat, pelajar tidak terganggu dengan aktiviti luar yang sering melalaikan. Mereka mempunyai masa yang diperuntukkan khusus untuk belajar dan sesi bimbingan tambahan sering diadakan oleh pihak sekolah bagi memastikan pelajar mencapai kecemerlangan akademik. Selain itu, suasana yang kompetitif antara pelajar yang cemerlang turut mendorong mereka untuk berlumba-lumba dalam pelajaran, menghasilkan pencapaian yang lebih baik.

Di samping itu, pelajar perlu menguruskan keperluan diri mereka seperti kebersihan, pengurusan masa dan kewangan peribadi. Tanggungjawab ini membantu mereka menjadi lebih berdikari dan berkeyakinan. Mereka juga belajar bekerja dalam kumpulan dan bergaul dengan pelajar dari pelbagai latar belakang, yang secara tidak langsung mengukuhkan kemahiran komunikasi dan kepimpinan.

Walau bagaimanapun, kehidupan di sekolah berasrama penuh juga mempunyai cabarannya. Antaranya, rasa rindu kepada keluarga yang boleh menyebabkan sesetengah pelajar berasa sunyi dan tertekan. Ini memerlukan sokongan emosi yang berterusan daripada guru dan rakan-rakan untuk membantu mereka menyesuaikan diri.

Selain itu, sesetengah pelajar mungkin menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan disiplin yang ketat. Kepadatan jadual, tekanan akademik dan kehidupan asrama yang sering kali dikawal dengan peraturan ketat boleh menyebabkan tekanan mental kepada pelajar. Jika tidak ditangani dengan baik, ia boleh memberi kesan negatif terhadap prestasi akademik dan kesejahteraan emosi mereka.

Untuk memastikan sekolah berasrama penuh terus relevan dan menarik minat pelajar, beberapa langkah penambahbaikan boleh diambil. Salah satunya dengan memperkenalkan lebih banyak program pembangunan diri dan sahsiah. Program-program ini perlu melibatkan aktiviti luar bilik darjah seperti kem motivasi, perkhemahan dan aktiviti kepimpinan. Ini bukan sahaja menghilangkan rasa bosan dalam kalangan pelajar, tetapi juga memberi mereka peluang untuk mempelajari kemahiran baharu yang tidak diajar dalam silibus akademik.

Kerjasama antara ibu bapa, guru, dan pihak sekolah penting dalam memastikan pelajar dapat menyesuaikan diri selain dapat belajar dengan baik. Ibu bapa perlu kerap berkomunikasi dengan pihak sekolah mengenai perkembangan anak sementara guru pula perlu memberikan maklumat yang tepat dan telus kepada ibu bapa. Dengan komunikasi yang baik, sebarang masalah yang timbul dapat diselesaikan dengan lebih cepat dan berkesan.-UTUSAN

NUR AQILAH MOHD. RIDHAUDDIN
Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Tun Abdul Razak Pekan, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×