TEHERAN: Serangan roket dan 180 peluru berpandu Iran terhadap Israel hanya akan mencetuskan skala peperangan lebih besar di rantau Asia Barat.
Perkara itu diakui oleh beberapa penganalisis yang menyifatkan ia sebagai serangan mengejut dan menempah konflik yang lebih meruncing.
Pengarah Advokasi di Badan Pemikir yang berpangkalan di AS, DAWN, Raed Jarrar memberitahu Al Jazeera, Asia Barat kini berada dalam ‘perang serantau berskala penuh’ yang tidak akan berakhir tanpa perubahan dalam dasar Amerika Syarikat (AS).
“Ini tidak akan berhenti tanpa AS meletakkan kakinya dan berkata, ‘Kami tidak akan menghantar lebih banyak senjata ke Israel. Kami tidak akan membiayai dan membantu jenayah Israel,” katanya.
Bagi Felo di Majlis Asia Barat mengenai Hal Ehwal Global, Omar Rahman, tidak ada persoalan Israel akan bertindak balas.
“Anda akan terlibat dalam jenis tindakan balas dendam, bolak-balik, yang mencetuskan perang yang lebih besar,” katanya kepada Al Jazeera.
Rahman menjelaskan Israel ‘telah cuba mengundang perang ini’ melalui tindakannya sejak beberapa bulan lalu.
“Israel mampu melakukan kemusnahan besar-besaran, seperti yang kita lihat di Lubnan.
“Ia mampu mencapai prestasi perisikan yang besar dan melancarkan perang pemusnahan yang benar-benar. Iran, saya fikir, telah cuba mengelakkannya, tetapi ia sedang menuju ke arah beberapa jenis peperangan dengan Israel,” katanya.
Jurucakap Tentera Israel, Daniel Hagari berkata, Israel ‘bersedia sepenuhnya untuk mempertahankan dan bertindak balas’ terhadap serangan Iran, dan hanya bergantung kepada ‘cara yang tepat pada masanya’.
Iran pula memberi amaran kepada Israel agar tidak bertindak balas terhadap serangannya, malah mengancam untuk melancarkan peluru berpandu selanjutnya ke negara itu jika ia bertindak balas.
MENGAPA IRAN SERANG ISRAEL?
Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) menegaskan, serangan itu sebagai tindak balas terhadap pembunuhan komander tertingginya, Abbas Nilforoshan dan pemimpin kanan Hezbollah, Hassan Nasrallah di Beirut, minggu lalu.
Ia juga merujuk kepada pembunuhan pemimpin politik Hamas, Ismail Haniyeh di Teheran pada Julai lalu.
Walaupun Israel tidak mengaku menjadi dalang kematian Haniyeh, namun Iran dan sekutu percaya rejim bertanggungjawab dalam serangan itu.
Pegawai Kanan Iran memberitahu Reuters, pemimpin tertinggi negara, Ayatollah Ali Khamenei sudah memberi arahan secara peribadi untuk melancarkan serangan.
Serangan itu hanyalah peningkatan terbaharu dalam perang bayangan yang berlangsung sekian lama antara kedua-dua kuasa berkenaan.
Iran tidak mengiktiraf hak Israel untuk wujud dan berusaha memusnahkan rejim tersebut.
Teheran sudah menghabiskan masa selama bertahun-tahun menyokong pertubuhan separa tentera yang menentang Israel sebagai sebahagian daripada Paksi Penentangan.
Israel percaya Iran merupakan ancaman yang wujud dan rejim itu juga menghabiskan tempoh bertahun-tahun untuk menjalankan operasi rahsia terhadap Teheran.
PELURU BERPANDU DIHALANG IRON DOME
Israel memiliki sistem pertahanan udara yang canggih dan paling terkenal iaitu Iron Dome.
Sistem ini direka untuk memintas roket jarak dekat yang dilancarkan oleh kumpulan pejuang Hamas dan Hezbollah.
Walaupun Iron Dome digunakan untuk mempertahankan daripada beberapa serangan Iran pada April lalu, elemen lain dalam sistem pertahanan ‘berlapis’ negara itu mungkin lebih berperanan semasa serangan Selasa lalu.
Israel memberi amaran mengenai kesan serius akibat serangan tersebut, manakala Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu berikrar akan membalas tindakan Teheran.
Jurucakap Angkatan Pertahan Israel (IDF), Daniel Haggari berkata, serangan itu adalah serius dan negara kini diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga.
“Serangan ini akan mempunyai akibatnya. Kami ada rancangan dan akan bertindak pada tempat dan masa yang diputuskan,” kata Haggari.
Bagaimanapun, IRGC dalam kenyataan balas memberi amaran, Teheran akan melancarkan serangan yang lebih menghancurkan jika Israel mahu bertindak balas. -AL JAZEERA/Agensi










