Calon Barisan Nasional (BN), Syed Hussein Syed Abdullah memperoleh 27,941 undi sementara calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar pula sekadar menerima 7,332 undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September lalu.
Kemenangan BN dengan majoriti empat kali ganda menunjukkan sokongan terhadap parti gabungan itu merentas kaum semakin meningkat manakala sokongan terhadap PN kian merosot.
Daripada 11 PRK yang terlangsung di Semenanung selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), prestasi PN didapati menjunam dalam hampir semua PRK yang berlangsung dalam tahun ini. Adakah ini bermakna tanda sokongan PN dalam kalangan pengundi terutamanya Melayu, yang dianggap sebagai benteng ‘diceroboh’ BN sekali gus menyebabkan sokongan semakin merosot? Apakah PN mampu menguasai Putrajaya dalam PRU16 seperti yang diuar-uarkan oleh setengah pihak?
Dari segi demografinya, DUN Mahkota dihuni 79,707 orang dan jumlah pengundi berdaftar adalah 66,329. Sebahagian besar penduduk terdiri daripada kakitangan awam dan swasta, termasuk industri.
Pengundi pula terdiri daripada 37,155 pengundi Melayu (56.02 peratus) , 22,520 pengundi Cina (33.95 peratus), 5,144 pengundi India (7.76 peratus ) dan 1,510 lain-lain kaum (2.28 peratus). Meskipun pengundi Melayu merupakan majoriti, tetapi jika diikutkan pengundi bukan Melayu (41.71 peratus) mampu menentukan keputusan pilihan raya.
Sekiranya dibuat analisa kasar terhadap pola pengundian, didapati semua 20 daerah mengundi, termasuk 109 saluran, dikuasai oleh BN.
BN berjaya menguasai 10 daerah mengundi yang terdiri daripada majoriti pengundi Melayu. Malah, BN dilihat menguasai daerah mengundi yang dikuasai PN dalam pilihan raya negeri (PRN) lepas.
Sebagai contoh, peti undi yang terdiri daripada majoriti Melayu lebih daripada 3,000 undi iaitu daerah mengundi Dorset (9,098), Kampung Melayu Timur (4,537), Kampung Melayu Satu (2,758) dan Kampung Baru (3,018) dikuasai oleh BN. Lebih 80 peratus daripada pengundi dalam daerah mengundi ini memihak kepada calon BN dalam PRK ini.
DUN Mahkota juga mempunyai lapan daerah mengundi yang terdiri daripada majoriti pengundi Cina. Antaranya, Dorset (3,227), Taman Suria (3,373), Taman Kerjasama (1,241), Taman Lian Seng (2,335). BN turut menguasai daerah-daerah mengundi ini, malah sokongan pengundi Cina terhadap calon Kerajaan Perpaduan itu mencecah 85 peratus dalam PRK ini. Majoriti pengundi dari daerah-daerah berkenaan sebelum ini menolak BN dengan menyokong Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14 dan PRU15.
Sementara pengundi India pula menyatakan sokongan hebat kepada calon BN pada kali ini. Undi kaum India yang tertabur dalam semua 18 peti undi, terutamanya di Dorset (1006), Taman Lian Seng (506), Taman Suria (843), Sri Tengah (603), Indah Jaya (338) dan Taman Kerjasama (350) bukti mereka menyokong BN. Calon BN berjaya meraih 85 peratus sokongan pengundi India daripada daerah-daerah mengundi tersebut.
Tidaklah keterlaluan sekiranya menyimpulkan sebahagian besar pengundi India pada kali ini beralih sokongan mereka kepada calon BN ekoran kempen yang dijalankan jentera pilihan raya MIC, pimpinan Presiden, Tan Sri SA. Vigneswaran.
Vigneswaran turun padang beberapa kali, melibatkan diri dalam aktiviti serta program kempen seperti lawatan ke rumah dan menyantuni pengundi India supaya menyokong calon BN. Usaha beliau berjaya menawan hati dan minda sebahagian pengundi India sekali gus menyebabkan hampir 90 peratus kaum itu menyokong calon BN.
Malah, usaha Vigneswaran membolehkan Syed Hussein menang dengan majoriti besar dan Mohamad Haizan pula hampir hilang deposit.
Dalam pada itu, kali ini jentera MIC dilihat menguasai keseluruhan kempen dalam kalangan pengundi India malah kempen berjalan secara bersepadu dengan jentera UMNO tanpa timbul sebarang masalah perselisihan atau tindihan dalam mendekati pengundi.
MIC bukan sahaja sudah pulih dari segi kekuatan malah mampu mendekati, meraih dan mengalih sokongan sebahagian besar pengundi India kepada BN yang merosot pada masa lepas kesan kebangkitan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).
PRK ini juga jelas menunjukkan kerjasama dan hubungan antara UMNO dan MIC kukuh, mesra dan akrab, terutamanya antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Vigneswaran. Sebaliknya, kerjasama antara presiden dalam parti-parti gabungan PN kurang terserlah sejak calon PRK diumumkan.
KEMPEN PN TIDAK MENYERLAH
Bahkan jentera kempen PN juga didapati kurang semangat untuk menjalankan kempen bagi memastikan kemenangan calon PN sejak awal lagi. Pengerak-pengerak PN yang seharusnya turun padang untuk lawan calon BN dilihat sudah putus asa atau menyerah kalah sebelum perang bermula.
Pada masa sama, naratif kempen PN pula didapati kurang menarik perhatian pengundi terutamanya golongan Melayu. Isu-isu yang ditimbulkan bukan sahaja kurang menyentuh hati pengundi tetapi sudah lapuk.
Keseluruhannya, PRK kali ini turut memberi pengajaran yang cukup bermakna kepada BN dan PN untuk menghadapi PRU16. BN boleh mengambil kaedah kempen seperti ini sebagai model bagi menghadapi pilihan raya akan datang. Manakala, PN pula perlu ambil maklum dan sedar terhadap kekurangan serta kelemahan strateginya untuk melawan BN, sebuah gabungan parti-parti politik pelbagai kaum.
Kali ini kejayaan BN menarik 27,000 sokongan berbanding sebelum PRK hanya ‘memegang’ lebih kurang 17,000 pengundi penyokong tegar merupakan fenomena yang boleh diraikan.
Manakala PN yang mempunyai penyokong tegar sekitar 7,000 pengundi tidak mampu meningkatkan sokongan meskipun sebelum ini calon Pas memperoleh 18,323 undi (48.53 peratus) iaitu hampir sama dengan calon BN yang menerima 19,431 undi (51.47 peratus) dalam PRU13.
PN tidak dapat mengekalkan sokongannya malah merosot sejak akhir-akhir ini. Apakah ini menunjukkan sokongan terhadap PN semakin merosot dalam medan politik negara?-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial & politik











