PETALING JAYA: Malaysia Book Of Record (MBOR) memberi pengiktirafan kepada restoran makanan segera Rightside sebagai restoran makanan segera berasaskan tumbuhan pertama di negara ini.
Menurut Pengerusi Eksekutifnya, Zhafran Yusof pengiktirafan diberi kepada cawangan keempat jenama makanan segera tersebut yang beroperasi di pusat beli-belah MidValley Mall.
Katanya, dengan pengiktirafan tersebut mampu menarik orang ramai terhadap makanan segera berasaskan tumbuhan yang lebih sihat berbanding makanan segera lain.
“Kami menawarkan hidangan berasaskan tumbuhan yang meniru rasa dan tekstur produk daging tradisional, mencabar tanggapan bahawa makanan berasaskan tumbuhan sememangnya hambar.
“Pasukan ahli kimia kami sentiasa berdedikasi dalam memperhalusi menu yang ditawarkan untuk memastikan penyediaan hidangan yang berkualiti tinggi untuk dinikmati oleh pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Dalam pada itu, Zhafran berkata, pihaknya bercadang meluaskan jenamanya ke seluruh pasaran tempatan dan luar negara.
Menurutnya, rancangan di pasaran domestik, syarikat sedang meneroka beberapa lagi lokasi baharu untuk cawangan terbaharunya yang dijangka dilancarkan hujung tahun ini. –UTUSAN










