Tolong serius hal keselamatan kanak-kanak

Tolong serius hal keselamatan kanak-kanak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENULISAN ini diharapkan dapat membuka mata semua pihak berkaitan aspek keselamatan dan hak kanak-kanak di negara ini.

Laporan pelbagai pihak berkaitan isu keselamatan serta kesejahteraan kanak-kanak sepanjang tahun ini bukanlah sekadar untuk pengetahuan umum sahaja sebaliknya tindakan segera terhadap usaha meningkatkan kesedaran umum terhadap isu ini perlu dilaksanakan.

Laporan pada 1 November 2023, merekodkan peratusan tertinggi kanak-kanak di bawah 18 tahun meliputi 24.7 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia yang mencapai angka 33.83 juta pada tahun lalu. Jumlah 24.7 peratus ini adalah generasi penerus kepada kecemerlangan negara pada masa akan datang.

Perkongsian berkaitan Dasar Perlindungan Kanak-Kanak Negara oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) menerusi laman sesawangnya diperkukuhkan dengan justifikasi bahawa dasar ini dikeluarkan bagi memastikan kanak-kanak dilindungi dari segala bentuk penderaan, pengabaian, eksploitasi dan keganasan.

Kanak-kanak di negara ini turut diberikan peluang untuk berkembang secara fizikal, mental, emosi dan sosial dalam persekitaran yang sejahtera, menyokong proses kecerdasan serta kecergasan mereka.

Objektif yang digariskan dasar ini perlulah dihayati iaitu setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk perkembangan holistik dari segi fizikal, kognitif, bahasa, sosioemosi, sahsiah dan kerohanian.

Seterusnya bagi memastikan setiap kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dengan diberikan jagaan, pemeliharaan, kasih sayang, perkhidmatan kesihatan, sokongan serta bantuan sosial.

Kesemua yang disebut ini meliputi kanak-kanak kurang upaya dan mereka juga dilindungi daripada sebarang bentuk pengabaian, penderaan, keganasan, eksploitasi dan seterusnya diberi habilitasi, rehabilitasi serta diintegrasi ke dalam keluarga mahupun masyarakat.

Malaysia dengan seluruh warganegara bertanggungjawab terhadap generasi kanak-kanak, sekiranya mahu kelestarian masyarakat sejahtera dapat diwujudkan bersama.

Peningkatan jenayah kecuaian dan pengabaian kanak-kanak sejak akhir-akhir ini mesti dbimbangi serta memiliki kecaknaan yang tinggi untuk sama-sama mengatasinya.

Tekanan hidup daripada pelbagai sudut mempengaruhi masyarakat dewasa ini turut berada dalam norma yang pincang khususnya dalam konsentrasi memenuhi tanggungjawab kepada kanak-kanak seperti yang digariskan Dasar Kanak-Kanak Negara.

Dalam keadaan tertentu, pihak yang bertanggungjawab, terutamanya ibu bapa, berada dalam situasi kurang waras iaitu kurang atau tidak peduli serta kurang berhati-hati dalam mengendalikan urusan berkaitan anak-anak mereka.

 

GOLONGAN kanak-kanak berhak menikmati kehidupan dengan penuh kasih sayang. – UTUSAN/PUQTRA
HAIRRY

 

AMBIL PEDULI
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menyatakan masyarakat harus tahu apa yang perlu dilakukan jika melihat sesuatu yang menimbulkan syak. Ayuh bermula detik ini, tajamkan nilai kemanusiaan yang ada dalam diri kita semua.

Hal ini amat penting kerana pada hari ini masyarakat sering berdepan dengan masalah kemanusiaan. Kita lantang memperjuangkan kisah penindasan insan lain di luar sempadan, tetapi bagaimana dengan kanak-kanak kita?

Tahukah anda, sesetengah tempat dalam negara ini khususnya di bandar raya terdapat kanak-kanak yang masih bermain, berlari dan berbasikal di bawah langit malam, sedangkan mereka sepatutnya sudah lena. Hal ini sudah tentu memberi pelbagai kesan buruk kepada proses cerdas dan cergas semula jadi mereka.

Oleh itu, masyarakat harus turut dididik serta difahamkan dengan jitu tentang peri pentingnya nilai kemanusiaan terhadap kanak-kanak termasuklah pendidikan kepada golongan kanak-kanak itu sendiri dari peringkat awal lagi.

Waktu tidur yang betul adalah satu keperluan semula jadi tubuh yang kelak akan menjana seribu kebaikan kepada manusia itu sendiri khususnya kanak-kanak.

Kajian awal yang dijalankan oleh Rosenberg (1965) dan Coopersmith (1967) menunjukkan penglibatan ibu bapa, kesediaan memberi autonomi dan kebebasan mempunyai hubungan positif dengan keyakinan diri yang tinggi dalam diri remaja.

Trauma atau penderaan kanak-kanak mempunyai implikasi besar dalam perkembangan manusia kerana perkara ini merupakan penyebab utama morbiditi golongan ini dalam pengkhususan kesihatan, ketidakupayaan fizikal, kesihatan emosi dan perkembangan kesihatan anak.

Banyak kajian dijalankan sebelum ini mengatakan keluarga sangat penting dalam pembentukan peribadi terutama pada awal kanak-kanak (Talib, Mohamad & Mamat 2011).

Golongan ibu bapa perlu memberikan contoh dan teladan yang baik, ajaran yang sempurna agar jiwa serta perasaan anak tersebut tidak tertekan dengan didikan penuh kekerasan sehingga menyebabkan mereka merasa takut mahupun trauma terhadap sikap kedua orang tua.
Sifat dan sikap yang keras dalam didikan akan menjadi ikutan apabila berada di luar jagaan ibu bapa, sehingga sanggup melakukan apa sahaja bagi memuaskan tekanan jiwa yang dirasa.

Menurut Noorjannah (2014) kesan jangka panjang bukan sahaja berlaku kepada kanak-kanak yang menjadi mangsa, malahan juga kepada keluarga dan masyarakat serta wujudnya tingkah laku juvana, penyalahgunaan dadah selain jenayah. Kesan penderaan emosi bakal mendedahkan kanak-kanak kepada gangguan psikiatri, perkembangan fizikal serta perkembangan psikologi.

Ketidakfungsian keluarga pula berkait rapat dengan gejala negatif seperti kebimbangan, masalah sosial dan tingkah laku agresif. Kecuaian dan pengabaian ibu bapa kepada kanak- kanak menjadi perkara yang amat kritikal pada masa kini. Walaupun jika dilihat perkara ini terjadi dengan tidak sengaja atau tanpa disedari, tetapi tetap boleh dikatakan satu kesalahan yang besar selain boleh disabitkan di bawah kesalahan kecuaian dan pengabaian.

Sifat ihsan mencerminkan ciri-ciri keperibadian mulia yang wajar dimiliki oleh setiap anggota masyarakat supaya kita dapat meneruskan kehidupan dalam suasana dan persekitaran yang selamat, harmoni serta sejahtera.

Masyarakat perlu peka dengan keadaan sekeliling yang nampak mencurigakan. Jika hanya merakam video untuk media sosial sahaja, tidak berguna sebaliknya sekiranya melihat mana-mana kanak-kanak mengalami penderaan atau pengabaian, terus menghubungi pihak berkuasa atau Talian Kasih di nombor 15999.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia dan Felow Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN