Jangan larang pekerja kekal di sektor ekonomi gig

Jangan larang pekerja kekal di sektor ekonomi gig

PEKERJA ekonomi gig boleh membuat caruman KWSP sendiri serta menyimpan wang di bank sebagai pelaburan jangka panjang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penglibatan se­makin ramai masyarakat untuk kekal di industri ekonomi gig tidak perlu dilarang, ekoran sektor tersebut mampu untuk memberi pendapatan dengan lebih mudah walaupun tidak stabil.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Sdn. Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Ra­shid berkata, ekonomi gig patut dilihat sebagai industri yang berjaya membuka peluang pekerjaan untuk orang ramai pada saat masyarakat bersaing untuk memiliki kerjaya yang diimpikan.

Beliau berkata, walaupun pekerja gig menerima penda­patan yang tidak tetap dan ada masa tertentu mereka memperoleh pendapatan yang lebih rendah, namun pengurusan kewangan terutama kecemasan terletak di tangan mereka.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Mereka boleh membuat ca­ruman sendiri di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) serta menyimpan wang di bank bagi membuat pelaburan jangka panjang.

“Selain itu, kerajaan turut mempunyai inisiatif dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan kebajikan pekerja di sektor gig terjaga,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Pertubuhan Keselamatan So­sial (Perkeso) sebelum ini, memperkenalkan Skim Ke­se­lamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi tujuan memberi perlindungan bagi pekerja gigi.

Sehubungan itu, Mohd Afzanizam berkata, pendapatan tidak menentu dalam industri itu, mendorong pekerja gig tersebut untuk sentiasa beringat dalam pengurusan kewangan mereka terutamanya dalam membuat simpanan utk hari tua, rumah, kenderaan dan simpanan luar jangka.

“Oleh itu, pekerja gig perlu cakna tentang celik kewangan bagi memastikan kedudukan kewangan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, faktor perkembangan teknologi dijangka akan membuka peluang kerjaya untuk terus bercambah.

“Industri gig akan lebih meluaskan apabila melibatkan kemahiran seperti penasihat kewangan, perunding IT (teknologi maklumat),” katanya.

Akhbar ini semalam melaporkan, ekonomi gig dilihat bukan merupakan platform yang menjamin kerjaya kekal, terutama mereka yang terlibat dalam industri e-hailing dan p-hailing.

Industri tersebut menawarkan sumber pendapatan yang tidak stabil dan dijadikan sebagai punca utama bagi jangka panjang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini