Hari ini ramai isteri terlalu berdikari, cekal dalam menguruskan segala hal dalam rumah tangga.
Si isteri merasakan dia mampu menguruskan segala hal dalam kehidupan. Daripada kerjaya, anak-anak, kewangan sehinggalah membuat keputusan besar dalam rumah tangga tanpa melibatkan suami.
Segala keputusan dibuat tanpa berbincang, segala masalah diselesai tanpa perbualan dan perhatian yang dahulunya hangat kini semakin dingin.
Sikap isteri yang pada mulanya kelihatan positif dan suami bangga dengan kehebatan isteri yang tidak pernah meminta bantuan dan sentiasa kelihatan kuat itu, lama -kelamaan bertukar sebaliknya.
Suami mula rasa tersisih dan tidak dihargai
Minggu ini saya kongsikan pengalaman Lela, (bukan nama sebenar) seorang isteri yang selama ini terlalu berdikari dalam kehidupan seharian.
Katanya, sikap berdikari yang keterlaluan memberi kesan dalam rumah tangga apabila, suaminya, Amran (bukan nama sebenar) berlaku curang.
Katanya, dia tidak berniat untuk membuka aib rumah tangga sendiri, tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada wanita di luar sana yang terlalu berdikari.
“Dalam perkahwinan, kerjasama dan komunikasi sangat penting dan bukan sahaja sikap berdikari semata-mata.
“Selama ini saya silap. Niat saya hanya untuk meringankan beban suami, namun lain pula jadinya tanpa saya sedari telah melukai hati orang yang disayangi,” ujarnya dalam pertemuan dengan saya baru-baru ini.
Menyingkap kisah hidupnya, kata wanita berusia awal 40 -an itu, sejak kecil sehingga memasuki alam perkahwinan dia menguruskan segala-galanya, tanpa bergantung kepada sesiapa termasuk suami.
Menyambung cerita, akui Lela pengalaman hidup yang dilalui sejak kecil telah membentuknya menjadi wanita yang suka berdikari.
Dia dibesarkan dalam sebuah keluarga sederhana, di mana kedua ibu bapanya bekerja keras untuk memastikan keluarga mereka hidup dengan lebih baik.
Dari usia remaja, Lela sudah terbiasa melakukan banyak perkara sendiri. Menjaga adik-adik dan menguruskan rumah ketika ibu dan bapanya keluar bekerja.
Sikap berdikarinya itu terus dibawa apabila dia melanjutkan pengajian di salah sebuah institusi pengajian tinggi.
Dia belajar menguruskan kewangan, menyelesaikan segala masalah yang dihadapi tanpa banyak bergantung kepada orang lain.
Selepas tamat belajar, dia bekerja di salah sebuah syarikat perbankan. Sikap berdikarinya itu membantu dia cepat naik pangkat.
Dalam tempoh itu juga, dia bertemu Amran, seorang penjawat awam dan akhirnya mereka berkahwin.
Di alam perkahwinan, Lela masih terbawa-bawa sikap berdikarinya.
Daripada hidup berdua sehinggalah mereka mempunyai tiga orang anak.
Selama tempoh hidup bersama selama 14 tahun, Lela tidak pernah meminta bantuan Amran kerana beranggapan dia boleh melakukan sendirian dan tidak mahu menyusahkan.
Pada mulanya, Amran merasa lega kerana Lela tidak membebankannya dengan urusan rumah tangga, menjaga anak-anak, kewangan dan sebagainya.
Namun, lama kelamaan, Amran mula berasa terpinggir, tidak dihargai dan mula sedikit demi sedikit menjarakkan hubungannya dengan Lela.
Dia mula pulang lewat dan menghabiskan banyak masa dengan kawan-kawannya.
Menurut Lela, dia hanya menyedari masalah itu apabila Amran mula kurang bercakap dan lebih banyak menghabiskan masa di luar rumah.
Kemuncak kepada masalah dalam rumah tangga mereka berlaku apabila Lela mengesan suaminya curang.
Pada mulanya, dia tidak menyangka bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku.
Namun sikap suami yang sudah berubah dan semakin tidak peduli dengan keluarga membuatnya curiga.
Dengan hati yang remuk, Lela cuba berdepan dengan Amran.
Pada mulanya, Amran menafikan segalanya, tetapi bukti yang ada terlalu kuat untuk dinafikan.
Akhirnya, Amran berterus terang tetapi dalam masa sama memberi alasan bahawa selama ini dia berasa terabai dan tidak dihargai sebagai seorang suami.
Sejujurnya kata Lela dia terkejut mendengar alasan Amran.
Katanya, dia tidak pernah berniat untuk mengecualikan Amran daripada kehidupan mereka, tetapi hanya mahu meringankan bebannya.
“Saya mulai sedari, bahawa meskipun saya berniat baik dengan berdikari, tetapi pada masa sama, secara tidak sengaja telah membiarkan suami berasa tidak penting dalam rumah tangga,” ujarnya.
Setelah melalui pelbagai konflik, mereka nekad untuk menyelamatkan rumah tangga.
Lela dan Amran sedar, berpisah bukanlah penyelesaian terbaik. Mereka memutuskan untuk mengambil masa muhasabah dan menilai diri masing-masing.
“Sejujurnya saya sendiri, mula menyedari bahawa sikap berdikari yang keterlaluan telah menyebabkan rumah tangga kami hampir runtuh.
“Sejak hari itu saya mula terbuka untuk berkongsi beban dan tanggungjawab serta lebih menghargai kehadiran suami dalam kehidupan harian,” ujarnya.
Sementara Amran pula mengakui tindakannya menjalinkan hubungan dengan wanita lain semata-mata mahu mengisi masa dan tidak berniat untuk berkahwin lagi.
Melalui usaha bersama, Lela dan Amran berjaya memperbaiki hubungan mereka.
Amran lebih berasa dihargai dan Lela mula belajar bahawa perkahwinan bukan siapa yang lebih kuat, atau lebih berdikari tetapi bagaimana dua inividu saling melengkapi dan menyokong antara satu sama lain,
“Saya akuinya, sifat berdikari masih ada, tetapi saya sentiasa berusaha untuk mengimbangi dengan keinginan untuk bekerjasama dalam segala hal dengan suami,” ucapnya jujur.
Sesungguhnya dalam membina rumah tangga kesefahaman antara suami isteri amat penting. Perkara pertama yang perlu diwujudkan adalah melaksanakan tanggungjawab, kewajiban dan hak masing-masing.
Suami berkorban untuk isteri dan begitu juga sebaliknya Al-Quran sendiri telah mengajar suami supaya bergaul dengan isteri dengan cara yang baik sama ada dari sudut adat dan lebih penting lagi berlandaskan syariat.
Ini sebagaimana Firman Allah SWT “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik,” (Surah al-Nisa:19).










