Buang segera gelaran ‘tong sampah’ dunia

Buang segera gelaran ‘tong sampah’ dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin mengulas berita muka depan Utusan Malaysia bertajuk Malaysia bukan ‘tong sampah dunia. Artikel berkenaan ekoran Malaysia menjadi tempat pelupusan bahan buangan elektrik dan sisa plastik dari negara-negara maju dan menjadi penyumbang terbesar ancaman mikroplastik.

Malaysia sepatutnya mengikut China dengan mengetatkan syarat kemasukan barangan berkenaan.

Timbul pertanyaan mengapa negara ini menjadi tempat barangan yang tidak digunakan lagi dan adakah kementerian yang menjaga alam sekitar menyedari bahan- bahan buangan tersebut boleh merosakkan alam? Ataupun, sikap negara kita yang tidak ambil kisah tentang pencemaran dan mengutamakan keuntungan melalui industri kitar semula terutama yang melibatkan barangan elektrik dan sisa plastik?

Sudah sampai masanya, kerajaan bertindak dan memulihkan imej negara yang dianggap membangun dan setanding negara maju.

Selain sebagai ‘tong sampah’ dunia, Malaysia juga menjadi lubuk emas warga asing terutama dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan yang bekerja dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Di samping itu, Malaysia juga menjadi tempat sementara pelarian Rohingya yang memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebelum dipindahkan ke negara ketiga tetapi nampaknya sehingga kini tiada sebuah negara pun yang inginkan pelarian ini.

Kebaikan dan kesediaan negara dalam hal ini menyebabkan Malaysia dibanjiri warga asing yang masuk secara sah dan haram selain menimbulkan keresahan kepada rakyat apabila mereka melanggar undang- undang dan peraturan negara.

Selain itu, persaingan antara rakyat tempatan dan warga asing terutama dalam peluang pekerjaan, tempat berniaga, barangan bersubsidi, kesejahteraan hidup dan keselamatan, juga tergugat.

Warga asing yang tidak bekerja dalam sektor 3D patut dihantar pulang kerana boleh menggugat keselamatan negara dan ketenteraman awam.

Apabila Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad memandang serius serta mahu memperhalusi kemasukan import plastik ke negara ini selain membangkitkan suara Malaysia di peringkat ASEAN mahupun antarabangsa. Maka, perkara sama perlu dilakukan dalam hal kebanjiran warga asing yang boleh dianggap sudah tidak terkawal apabila Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025 nanti.

Peluang ini perlulah digunakan sebaik-baiknya untuk membersihkan imej negara daripada panggilan buruk dan hina seperti negara ‘tong sampah’, lubuk PATI (pendatang asing tanpa izin), ‘Bangladesh kedua’, ‘Pakistan Kedua’ , ‘Indonesia Kedua’ dan sebagainya.

Rakyat mahu kerajaan prihatin dan mendengar rintihan kerana mereka berhak menikmati suasana kehidupan yang tenteram, sejahtera, aman dan mendapat keadilan yang sepatutnya.-UTUSAN

TEGAS DAN BERPRINSIP
Temerloh, Pahang

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN