BANGKOK: Pemilik sebuah ladang buaya di Thailand terpaksa membunuh 125 reptilia itu kerana bimbang ia terlepas ketika banjir dan membahayakan keselamatan penduduk.
Hujan monsun yang melanda utara Thailand bulan ini, mencetuskan banjir dan tanah runtuh sehingga meragut lebih 20 nyawa.
Pemilik ladang, Natthapak Khumkad berkata, hujan lebat di daerah Lamphun meningkatkan risiko kumpulan buaya Siam sebesar tiga meter miliknya terlepas di kawasan luar bandar serta menyerang penduduk dan ternakan.
“Hujan menghakis dinding ladang, jadi dengan berat hatinya kami terpaksa membunuh semua 125 buaya.
“Kami telah menjaga kesemua buaya ini selama 17 tahun,” katanya kepada AFP.
Natthapak berkata, pekerjanya menggunakan kaedah renjatan elektrik untuk membunuh haiwan tersebut.
Gambar di akaun Facebook peribadinya menunjukkan sebuah jengkaut digunakan untuk mengeluarkan tiga ekor buaya besar.
Buaya Siam adalah spesies yang sangat terancam di alam liar, tetapi dibiakkan secara meluas di ladang seluruh Thailand untuk memanfaatkan kulitnya.
Doktor haiwan dari Jabatan Taman Negara, Hidupan Liar dan Pemuliharaan Tumbuhan Thailand, Dr Patarapol Maneeorn berkata, buaya tersebut seharusnya dipindahkan ke kawasan lain yang tidak terjejas banjir.
“Ini boleh menjadi pengajaran mengenai cara mengendalikan haiwan berbahaya semasa bencana alam,” katanya.
Natthapak menjelaskan, beliau sebelum ini sudah menghubungi kerajaan untuk mencari tempat perlindungan sementara bagi reptilia berkenaan.
Bagaimanapun, permohonaan itu ditolak kerana saiz buaya yang terlalu besar.










