SABTU ini, rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota bakal memilih ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dirasakan mampu memimpin dan membawa suara mereka ke peringkat yang lebih tinggi.
Berdasarkan penelitian saya, terdapat 20 faktor mengapa Syed Hussien Syed Abdullah, calon Barisan Nasional (BN), akan menang selesa ke atas Mohamad Haizan Jaafar dari Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) ini.
- Rentak kemenangan PRK Nenggiri
Kemenangan besar BN di PRK Nenggiri pada 17 Ogos lalu memberikan momentum positif kepada jentera parti di seluruh negara. Kemenangan ini mencipta keyakinan pengundi terhadap keupayaan BN untuk terus menang dan aura kemenangan ini turut dirasai pengundi di Mahkota.
- Pengumuman calon lebih awal
Sama seperti PRK Nenggiri, BN mengumumkan calon lebih awal berbanding PN. Ini memberikan masa yang cukup untuk pafrti merancang strategi kempen secara lebih teratur dan mendekati pengundi dengan lebih berkesan, sementara PN dilihat ketinggalan dari segi persediaan awal.
- Strategi ceramah kelompok
BN menggunakan strategi ceramah kelompok yang berkesan dalam PRK Nenggiri, membolehkan mereka berinteraksi secara langsung dengan pengundi dalam kumpulan kecil, yang lebih intim dan fokus. Strategi ini berjaya di PRK Nenggiri dan dilihat akan terus berjaya di Mahkota, meningkatkan kepercayaan pengundi terhadap calon BN.
- Faktor calon muda
Syed Hussien berusia 40 tahun merupakan Ketua Pemuda UMNO Kluang dan lebih dekat dengan pengundi muda, yang membentuk sebahagian besar pengundi di DUN Mahkota. Syed Hussien mempunyai daya tarikan kepada pengundi muda berbanding calon PN, Mohd. Haizan Jaafar, 61 menjadikan isu usia ini faktor utama dalam pola pengundian.
- Sokongan padu komponen Kerajaan Perpaduan
BN mendapat sokongan penuh daripada komponen Kerajaan Perpaduan khususnya DAP, MCA dan MIC yang aktif berkempen. Tiada lagi isu antara UMNO dengan MCA dan MIC yang akan memobilisasi undi daripada pengundi Cina dan India, sekali gus meningkatkan peluang kemenangan BN.
- Amanah beri laluan kepada BN
Walaupun pada awalnya Parti Amanaha Negara (Amanah) mahu bertanding, isu ini berjaya diselesaikan melalui rundingan dengan memberi laluan kepada BN. Ini bagi memastikan tiada perpecahan dalam undi dalam kalangan penyokong Pakatan Harapan (PH), sekali gus memperkuatkan peluang kemenangan BN.
- Keadaan ekonomi semakin pulih
Dengan keadaan ekonomi negara yang semakin pulih, pengundi melihat parti yang memerintah, khasnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai peneraju utama dalam membina kestabilan ekonomi. Faktor ini memberikan aura positif kepada Syed Hussien, mewakili parti dalam Kerajaan Perpaduan yang berjaya mengatasi pelbagai cabaran ekonomi.
- Pentadbiran stabil di Johor
Pentadbiran Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, yang kukuh dan stabil tanpa isu besar, memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa wakil BN adalah pilihan yang tepat untuk terus memacu pembangunan di Johor. Pengundi tempatan melihat kestabilan pentadbiran sebagai asas kepada pilihan mereka.
- Undi penjawat awam
Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang meningkatkan gaji dan menambah baik skim perkhidmatan penjawat awam membolehkan BN menerima sokongan kuat daripada golongan ini. Di samping itu, undi awal tentera dan polis yang secara tradisinya condong kepada BN juga memperkuatkan peluang Syed Hussien untuk menang.
- Kerjasama kukuh PH-BN
Pengundi melihat PH-BN sebagai gabungan yang stabil dan bersatu, mampu membawa kestabilan politik serta pembangunan di DUN Mahkota.
- Sokongan kuat pengundi Cina, India
Walaupun pengundi Cina pada awalnya berasa kurang selesa dengan UMNO, tetapi DAP bekerja keras untuk meredakan ketidakselesaan ini dan memobilisasi undi Cina walaupun ada surat layang meminta mereka tidak mengundi. Pengundi India, yang setia dengan BN, juga dijangka memberikan sokongan padu, menjadikan gabungan pengundi ini sebagai faktor penting kemenangan.
- Kempen hybrid BN
Pengumuman Pengerusi BN, Datuk Seri Dr, Ahmad Zahid Hamidi, bahawa BN akan menggunakan pendekatan kempen hybrid, iaitu gabungan kempen fizikal dan digital akan membolehkan parti menjangkau pelbagai lapisan masyarakat. Ini memberi kelebihan kepada untuk meraih sokongan pengundi, terutamanya pengundi muda yang aktif di media sosial.
- Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO
Jentera Pemuda, Wanita dan Puteri UMNO memberikan sokongan penuh kepada Syed Hussien, walaupun pada awalnya terdapat ketidakselesaan dalam kalangan Wanita apabila calonnya tidak terpilih. Gabungan tenaga kerja dari ketiga-tiga sayap ini meningkatkan kekuatan kempen BN di DUN Mahkota.
- Tiada isu sensitif dimainkan
Kempen berjalan dengan aman tanpa isu sensitif seperti kaum, agama, dan raja (3R) dimainkan oleh mana-mana pihak. Ini memastikan fokus pengundi kekal kepada calon dan polisi yang ditawarkan, dan ini akan memberi kelebihan kepada calon BN.
- Sokongan akar umbi
Syed Hussien merupakan anak tempatan dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang yang sudah lama berkhidmat di kawasan tersebut. Pengundi tempatan yang mengenali dan menghargai perkhidmatannya akan cenderung menyokong beliau, memberikan kelebihan besar dalam meraih sokongan akar umbi.
- Karisma Calon BN
Karisma Syed Hussien yang mesra dan disenangi oleh pengundi tempatan menjadikannya calon yang lebih diterima berbanding Mohd. Haizan, yang mungkin lebih dikenali dalam bidang sukan tetapi kurang aktif dalam bidang politik dan hanya berjawatan Ahli Jawatankuasa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kluang. Kredibiliti dan reputasi Syed Hussien memberi impak positif kepada kempen beliau.
- Sokongan pengundi muda
Sebanyak 52 peratus pengundi di DUN Mahkota adalah pengundi muda, dan Syed Hussien, sebagai calon muda, lebih relevan kerana mudah mendekati golongan ini. Ini memberi kelebihan besar kepada Syed Hussien dalam meraih sokongan generasi muda.
- Tidak terbawa-bawa dengan emosi
Seruan Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan, supaya penyokong BN tidak terbawa-bawa dengan emosi sekiranya calon pilihan mereka tidak dicalonkan, tetapi tetap memberi sokongan kepada parti memberi kesan. Ia memastikan jentera BN beroperasi dengan penuh disiplin dan fokus kepada kemenangan.
- Sokongan pengundi luar
BN dijangka berjaya menarik balik pengundi luar, khususnya pengundi muda yang menetap di luar Johor. Usaha keras pimpinan BN dan PH agar mereka pulang mengundi, termasuk tindakan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir, membenarkan mahasiswa baharu mendaftar lewat ke universiti awam masing-masing, menunjukkan bahawa pengundi luar akan memainkan peranan penting dalam kemenangan ini.
- Masalah PN raih undi Cina
PN mengakui bahawa mereka sukar untuk meraih undi daripada pengundi Cina yang membentuk 34 peratus pengundi di Mahkota walaupun mereka cuba mengeksploitasi isu sijil halal untuk restoran. Kegagalan PN untuk memenangi sokongan pengundi Cina memberi kelebihan besar kepada Syed Hussien, yang mendapat bantuan penuh daripada DAP dan MCA dalam menarik undi komuniti Cina.
Dengan semua faktor ini, Syed Hussien dijangka mempunyai peluang besar untuk menang dalam PRK DUN Mahkota dengan selesa.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Rusdi Omar adalah penganalisis politik Malaysia.










