Selesa jadi model seluar dalam, asalkan profesional

Selesa jadi model seluar dalam, asalkan profesional

DANIEL FONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memiliki tubuh tegap, berwajah tampan dan berkulit putih, menjadikan pelakon baharu meningkat naik ini tumpuan lensa syarikat model dan peragaan.

Buktinya, Daniel Fong, 33, pernah dilamar oleh syarikat pakaian dalam terkenal sebagai model bagi menjayakan kempen jenama yang dilaksanakan, dua tahun lalu.

Bagi jejaka berdarah Cina-Mongolia ini, selagi prinsip profesionalisme dijaga, dia tidak mempunyai halangan untuk menjayakan penggambaran oleh mana-mana produksi.

“Dua tahun lalu, saya pernah menjadi model pakaian seluar dalam bagi jenama antarabangsa. Saya buat secara sukarela sempena kempen jenama itu.

“Saya sangat terbuka untuk bekerja dengan pihak mereka semula, selagi hala tujunya bertemakan fesyen dan kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagaimanapun, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mendedahkan, dia pernah menjadi mangsa manipulasi oleh pihak pengurusan sewaktu mula-mula menceburi bidang peragaan.

Walaupun tiada sebarang sentuhan seksual berlaku, katanya, sesi penggambaran ketika itu membuatkan dirinya berada dalam situasi tidak menyenangkan.

“Ada syarikat dari China yang menguruskan saya masa itu, untuk model seluar dalam. Masa itu, saya berasa sangat tidak selesa tetapi selepas dipujuk saya pun bersetuju.

“Ketika itu, sesi penggambaran kelihatan sangat ‘seksual’ seperti saya perlu mencuba seluar dalam yang berbeza dan ditatarias dengan penampilan berbeza. Saya terpaksa akur sebab sudah diuruskan oleh pihak pengurusan bagi kontrak enam bulan,” katanya.

BERLAKON SEJAK 2016

Pejam celik sebenarnya sudah hampir sedekad Daniel menceburi bidang lakonan sejak 2016. Bagaimanapun, dia tidak pernah mendabik dada dan menyedari masih banyak skil perlu diasah.

Kongsinya, dia banyak menyertai bengkel dan kelas lakonan bagi mengasah bakatnya agar setanding dengan pelakon popular lain.

“Saya sebenarnya betul-betul lebih aktif dalam drama Melayu sejak 2022. Jadi walaupun sudah lama dalam industri, saya rasa masih banyak benda yang perlu dipelajari dan diterokai.

“Saya pernah belajar dengan pelakon-pelakon berpengalaman seperti Pearly Chua dan Fauzi Nawawi. Selain daripada kelas, saya rasa pengalaman di set juga sangat penting.

“Setiap watak yang saya bawa memang mengajar saya sesuatu perkara baharu dan saya cuba menggunakan pengalaman daripada satu watak untuk memperbaiki watak seterusnya,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini dalam bidang lakonan, Daniel memaklumkan drama baharu yang dibintanginya bakal ditayangkan di Astro Ria pada November ini.

Kongsinya, drama yang diarahkan oleh Imri Nasution itu berkonsepkan drama muzikal yang turut dibintangi oleh Everett Gomes, Nelysa Kay, Faiz Najib dan Alvy Joanna.

“Memang satu pengalaman yang sangat menyeronokkan. Saya bawa watak sebagai Damien, yang dibesarkan dalam sebuah keluarga kaya-raya yang sangat menyanyangi teman wanitanya, Puteri yang dilakonkan oleh Nelysa Kay.

“Dia sanggup buat apa sahaja untuk Puteri. Dalam cerita ini, mereka menyertai satu pertandingan muzik dan akhirnya membentuk sebuah band Bersama individu daripada latar belakang berbeza.

“Sejak itu, bermula pelbagai cabaran, diuji dengan semangat persahabatan dan konflik, namun pada sama mereka cuba memenangi hadiah wang tunai yang ditawarkan dalam jumlah yang besar,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×