PETALING JAYA: Jabatan Meteorologi (METMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang melibatkan beberapa kawasan di enam negeri hingga pukul 12 tengah hari ini.
METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan, kawasan terlibat membabitkan Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Johor, Sarawak, Sabah dan Putrajaya.
Di Perak, kawasan dijangka terjejas ialah Manjung, Perak Tengah, Bagan Datuk dan Hilir Perak.
Bagi Selangor pula, amaran cuaca buruk melibatkan Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Petaling, Kuala Langat dan Sepang.
Amaran sama turut dikeluarkan bagi Port Dickson di Negeri Sembilan serta Tangkak, Muar dan Batu Pahat di Johor.
Di Sarawak, kawasan terlibat ialah Sri Aman, Betong, Sarikei melibatkan Pakan dan Julau, Sibu (Kanowit dan Selangau), Kapit (Song dan Bukit Mabong) serta Bintulu melibatkan Tatau.
Sementara di Sabah, kawasan dijangka terjejas ialah Sandakan melibatkan Telupid dan Beluran selain Kudat serta Pitas.
Menurut METMalaysia, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir berlaku atau dijangka berterusan melebihi sejam.
Katanya, amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran. – UTUSAN









