Berapa ramai kena tuduh di mahkamah tetapi masih bertugas, tanya Azam Baki

Berapa ramai kena tuduh di mahkamah tetapi masih bertugas, tanya Azam Baki

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan tiada keperluan untuk beliau bercuti atau direhatkan ketika ini susulan dakwaan pemilikan saham di sebuah syarikat.

Menurutnya, beliau akan bertugas seperti biasa dan tidak akan berehat daripada tugasannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.

“Itu terpulang (gesaan supaya bercuti dan berehat). Saya tak perlu bercuti. Kalau nak bercuti saya bagi tahu berapa ramai kena tuduh sekarang ini di mahkamah masih lagi bertugas?.

“Ada orang jadi (bekas) Menteri Kewangan pun masih lagi dan dituduh menjadi Menteri Kewangan apa masalahnya? Saya ada criminal (kes jenayah) ke?” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kampung Angkat MADANI di Kampung Sungai Buah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian susulan gesaan beberapa pihak yang mahu dirinya bercuti dan berehat sementara siasatan dijalankan terhadapnya.

Gesaan itu dibuat Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Muhammad Faisal Abdul Aziz yang mahu proses siasatan berjalan secara bebas, telus dan tidak menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat.

Selain itu, lapan Ahli Parlimen PKR turut mendesak kerajaan supaya menggantung tugas Azam susulan pendedahan media antarabangsa, Bloomberg.

Dalam perkembangan sama, Azam menjelaskan, beliau sedia memberi kerjasama terhadap Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan kerajaan bagi menyiasat dakwaan ke atasnya itu.

“Tentulah (saya akan beri kerjasama), takkan saya tak kerjasama pula. Saya yang minta disiasat,” katanya.

Katanya, beliau menyerahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa itu dan bersedia bila-bila masa untuk memberi keterangan termasuk menyerahkan apa-apa dokumen diperlukan.

Azam berkata, buat masa ini, beliau mengesahkan belum dipanggil untuk diberi keterangan berhubung perkara itu.

“Saya akan berikan dokumen tapi ada dokumen-dokumen yang peribadi saya akan tunjuk pada merekalah contoh dokumen bank takkan saya nak tunjuk kepada orang-orang yang tak berkaitan pula.

“Jadi saya menaruh keyakinan bahawa jawatankuasa ini akan menjalankan tugas mereka dengan telus.

Jemaah Menteri sebelum ini bersetuju untuk melantik Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Moktar bagi mengetuai jawatankuasa itu selain turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Datuk Johan Mahmood Merican. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN