KUALA LUMPUR: Buat pertama kali dalam sejarah negara, kerajaan mengumumkan pengecualian sepenuhnya pembayaran levi bagi semua peringkat institusi pendidikan dan latihan swasta selama setahun, bermula 1 Januari 2026.
Levi pendidikan merujuk kepada cukai atau bayaran khas yang dikenakan kerajaan ke atas individu, syarikat atau institusi swasta bagi tujuan membiayai sektor pendidikan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengecualian itu melibatkan pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah, kolej vokasional, institusi pengajian tinggi (IPT) serta institut latihan yang bertujuan memberi ruang kepada kementerian berkaitan untuk menumpukan usaha meningkatkan mutu pendidikan dan latihan kemahiran negara.
“Percayalah Kerajaan Madani akan cari kaedah dan peruntukan yang sebaiknya untuk membantu anak-anak. Setelah banyak pandangan daripada segi pendidikan dan latihan supaya pembayaran levi dikecualikan bagi prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan vokasional serta institusi pendidikan.
“Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha pembaharuan menyeluruh. Kita mahu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Sumber Manusia memberi tumpuan penuh terhadap peningkatan kualiti, pemantauan serta pembinaan sistem yang mampan demi masa depan anak-anak kita,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Karnival Pembelajaran Minggu Latihan Kebangsaan (NTW) 2025 di Bukit Jalil di sini, hari ini.
Karnival yang berlangsung selama dua hari itu dianjurkan oleh HRD Corp. dengan sokongan Kementerian Sumber Manusia.
Ia adalah inisiatif tahunan yang membuka akses peluang pembelajaran dan latihan percuma kepada semua individu tanpa mengira umur, latar belakang atau tahap pendidikan.
Tambah Perdana Menteri, pendekatan itu tidak bersifat populis, sebaliknya merupakan pelaburan strategik ke arah pembinaan tenaga kerja masa depan yang berdaya saing dan beretika.
Menurutnya, pengecualian levi juga memberi peluang kepada institusi untuk menyemak semula struktur dan pendekatan pembelajaran, termasuk memperkukuh kerjasama industri dan penglibatan komuniti dalam pendidikan dan latihan.
“Selain itu, pantau juga syarikat swasta yang catat keuntungan tinggi untuk berikan sedikit pulangan kepada pekerja,” katanya. – UTUSAN