Protes diteruskan jika Azam Baki enggan berundur

Protes diteruskan jika Azam Baki enggan berundur

PARA peserta Himpunan #TangkapAzamBaki mengenakan pakaian serba hitam bergerak dari pekarangan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Beberapa siri himpunan akan terus digerakkan sekiranya Tan Sri Azam Baki enggan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan kontroversi pemilikan saham syarikat.

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, perhimpunan pertama semalam hanya sekadar menguji reaksi kerajaan sekiranya masih enggan menggantung Azam dan melaksanakan siasatan bebas berhubung dakwaan itu.

“Kalau kerajaan masih lagi tak mahu menggantung Azam dan tidak mahu adakan satu siasatan yang bebas dan telus, maka kita tidak ada pilihan lain kecuali untuk turun berkali-kali sehingga Azam turun,” katanya ketika berucap dalam Himpunan #TangkapAzamBaki di sini semalam.

Himpunan #TangkapAzamBaki itu dianjurkan bagi menyatakan pendirian mendesak tindakan terhadap Azam ekoran pemilikan saham.

Sebelum ini sebuah media antarabangsa mendakwa Azam memiliki 17.7 juta saham bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat.

Susulan itu beberapa pihak mendesak supaya kerajaan menggantung tugas Azam susulan pendedahan itu

Dalam pada itu, Rafizi menolak cabaran Azam untuk membuat laporan polis terhadap pendedahan media antarabangsa mengenai pemilikan saham itu kerana akhirnya SPRM akan menjalankan siasatan sendiri.

“Kalau kita buat laporan akhirnya siapa yang akan siasat? Azam akan siasat Azam sahaja,” katanya.

Terdahulu, lebih 200 peserta Himpunan #TangkapAzamBaki mengenakan pakaian serba hitam berkumpul di pekarangan Dataran Merdeka sambil dikawal ketat oleh polis.

Laungan ‘Turun, turun Azam Baki’ dan ‘Bangkit, bangkit anak muda’ bergema dalam kalangan peserta sambil memegang plakad tertera ‘Lawan dua darjat’.

Antara hadir termasuk Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad dan pemangku Presiden Muda, Amira Aisya Abdul Aziz.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN