KUALA LUMPUR: Kerajaan kini sedang meneliti untuk membawa keluar rakyat Malaysia yang berada di Iran ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, bagaimanapun kerajaan masih belum membuat ketetapan berhubung tindakan tersebut.
“Belum lagi,” katanya ringkas ketika ditanya pemberita ketika menghadiri Majlis Perasmian Sasana Simposium 2025 dan melancarkan Hab Inovasi Aset Digital di Bank Negara Malaysia di sini hari ini.
Pada 13 Jun lalu, Israel melancarkan serangan yang menyasarkan infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran, sekali gus menyebabkan harga minyak global melonjak.
Sebelum ini Menteri Luar Mohamad Hasan berkata kementeriannya telah mengeluarkan kenyataan supaya rakyat Malaysia di Iran, Iraq, dan Jordan menghubungi kedutaan Malaysia di negara berkenaan.
Katanya, semua rakyat Malaysia yang berdaftar dengan kedutaan berjaya dihubungi dan diberikan arahan sewajarnya termasuk jika perlu dipindahkan ke lokasi lebih selamat. – UTUSAN