SEKTOR perlombongan dan pengkuarian diunjur berkembang sebanyak 1.2 peratus pada 2027, disokong peningkatan dalam subsektor gas asli serta minyak mentah dan kondensat.
Menurut Tinjauan Ekonomi 2027, pengoperasian kemudahan terapung gas asli cecair ketiga (PFLNG3) di Sipitang, Sabah, serta peningkatan pengeluaran secara berperingkat daripada projek Rosmari dan Marjoram di Sarawak dijangka menyokong pengeluaran gas asli.
“Perkembangan itu turut disokong permintaan berterusan daripada sektor penjanaan elektrik domestik dan pasaran eksport gas asli cecair (LNG).
“Pengeluaran tambahan daripada medan baharu yang mula beroperasi di bawah projek Kasawari Fasa 2 di luar pesisir Sarawak, termasuk Berantai East dan Irong Timur, dijangka mengimbangi sebahagian penurunan pengeluaran minyak mentah dan kondensat daripada medan Gumusut-Kakap dan Malikai.
“Usaha pembangunan semula aset sedia ada yang berterusan, selain mempercepatkan kadar pemerolehan sumber, turut dijangka memberi sokongan kepada pengeluaran minyak mentah dan kondensat.
“Dari segi harga, purata minyak mentah Brent dijangka berada pada AS$85 setong, dengan pertumbuhan permintaan minyak sederhana berikutan peningkatan penggunaan kenderaan elektrik (XEV), bahan api bio dan kecekapan tenaga,” katanya.
Sementara itu, sektor pembinaan pula dijangka berkembang 5.7 peratus pada 2027, didorong aktiviti berterusan dalam semua subsektor.
“Pertumbuhan sektor itu dijangka terus dipacu subsektor bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan khas, dengan pembangunan pusat data baharu di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan menyokong pengembangan bangunan bukan kediaman.
“Kemajuan pembangunan berkenaan, selain projek bangunan dan infrastruktur lain, dijangka meningkatkan permintaan terhadap kerja mekanikal, elektrik dan pemasangan paip, sekali gus menyokong subsektor aktiviti pembinaan khas<’ katanya.
Jelasnya, subsektor kejuruteraan awam pula dijangka dipacu pelaksanaan projek infrastruktur utama termasuk jajaran Gombak-Pelabuhan Klang bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) Fasa 2 dan sistem Transit Rapid Autonomi Bertingkat (E-ART).
“Ia tutur merangkumi Lebuhraya Penyuraian Trafik Utara Kuala Lumpur (KL NODE), Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) Fasa 2 serta Projek Penyuraian Trafik Juru-Sungai Dua.
“Selain itu, subsektor bangunan kediaman dijangka mendapat manfaat daripada pelaksanaan langkah di bawah Dasar Perumahan Negara 2026-2035 yang bertujuan meningkatkan kemampuan pemilikan rumah, selain menangani isu berpanjangan berkaitan projek perumahan yang tertangguh dan terbengkalai,” katanya. –UTUSAN










