Israel bedil rumah ketika penduduk Gaza tidur

Israel bedil rumah ketika penduduk Gaza tidur

SEORANG lelaki membawa tong gas di celah runtuhan bangunan yang mengalami kerosakan teruk susulan serangan Israel ke atas sebuah pangsapuri kediaman di kawasan kejiranan Rimal, Gaza City, semalam.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Serangan udara Israel ke atas sebuah pangsapuri kediaman di barat Gaza City awal pagi semalam, meragut sekurang-kurangnya lima nyawa dan menyebabkan enam lagi penduduk cedera parah.

Menurut petugas perubatan di Hospital al-Shifa, serangan tersebut menyasarkan bangunan al-Asala di kawasan kejiranan Rimal tanpa sebarang amaran awal.

Wartawan Al Jazeera di Khan Younis, Hani al-Shaer, melaporkan serangan itu berlaku ketika penduduk sedang tidur.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kami mendengar bunyi pesawat pejuang semakin kuat, kemudian tiga serangan berlaku dan mengenai pangsapuri itu, mengorbankan mereka yang berada di dalamnya,” katanya.

Serangan itu menembusi pangsapuri sebelum meranapkan beberapa tingkat di bawahnya, menyebabkan kemusnahan lebih besar di seluruh bangunan bertingkat berkenaan.

Kebakaran berlaku sekurang-kurangnya sejam sebelum pasukan Pertahanan Awam Palestin berjaya memadamkannya.

Al-Shaer menyifatkan keadaan di lokasi sebagai mengerikan, dengan beberapa penduduk tertimbus di bawah runtuhan ketika sedang tidur.

Beliau berkata, pasukan pertahanan awam masih melakukan operasi mencari mangsa yang hilang dan mayat di lokasi kejadian, ketika dron Israel terus berlegar di ruang udara kawasan itu dan bunyi pesawat pejuang kedengaran terbang rendah merentasi Gaza.

Hospital al-Shifa berkata, empat wanita antara yang terbunuh termasuk seorang penganut Kristian warga emas dan anak perempuannya.

Enam mangsa yang cedera dibawa ke Hospital al-Shifa untuk menerima rawatan.

Rimal merupakan antara kawasan kediaman paling padat di Gaza City dan menjadi tempat perlindungan kepada ribuan penduduk yang hilang tempat tinggal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN