REMBAU: Pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Iqbal Daniel Mohd Nawawi muncul pelumba Malaysia terbaik selepas menamatkan Peringkat 6 Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26) di tempat ke-16 keseluruhan, hari ini.
Iqbal mencatat masa 2 jam 40 minit 06 saat bagi perlumbaan sejauh 121.3 kilometer (km) dari Pandan Indah ke Rembau yang
turut menawarkan tiga zon pendakian di Ampang, Bukit Hantu dan Bukit Mendum serta tiga zon pecutan di Ulu Beranang, Rahang dan Rembau.
Pelumba berusia 22 tahun itu berkata, dia sudah memberikan segala kudrat untuk mengekori kelompok hadapan, namun faktor fizikal serta ketiadaan rakan sepasukan yang mampu melindunginya daripada angin menjadi antara cabaran utama.
“Saya sudah cuba yang terbaik. Cuma saya mempunyai fizikal yang kecil dan saya seorang, tiada ‘pacer’ yang mempunyai badan besar untuk membantu.
“Laluan ini memang sangat sukar dan perlumbaan berlangsung dengan sangat mencabar. Bagi saya, memang 100 peratus laju dan kaki saya sudah kepenatan,” katanya kepada pemberita selepas perlumbaan di sini semalam.
Menurut Iqbal, meskipun barisan pelumba MPC sudah biasa menjalani latihan di laluan tersebut namun, tempo perlumbaan sebenar jauh lebih agresif berbanding ketika sesi latihan.
“Kami memang biasa berlatih di situ tetapi dalam perlumbaan ini rentaknya berbeza. Ia lebih agresif dan saya lihat semua pelumba bergerak dalam satu garisan dengan kelajuan tinggi.
“Pada kira-kira satu kilometer terakhir, saya rasa kaki sudah tidak mampu bertahan. Jadi saya cuba pulihkan tenaga dan menunggu peluang untuk mendapatkan semula rentak bersama kumpulan di belakang,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Peringkat 7 yang dijangka berakhir dengan pecutan beramai-ramai, Iqbal berkata, dia dan rakan sepasukan akan cuba memberikan yang terbaik selepas mendapatkan rehat secukupnya.
“Bagi peringkat seterusnya, kami akan cuba yang terbaik untuk mencari keputusan lebih baik. Kami perlu pulih sedikit kerana cuaca panas, selepas itu cuba berikan yang terbaik lagi,” kata Iqbal yang membuat penampilan kedua di LTdL selepas kali pertama pada 2024.








