Harimau Malaya hilang khidmat Cools

Harimau Malaya hilang khidmat Cools

DION Cools. - IHSAN MALAYSIA NT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Malaysia bakal berdepan Vietnam dalam penentuan tempat ketiga Piala ASEAN FIFA 2026 di Stadium Gelora Bung Karno (GBK) hari ini, tanpa khidmat kapten pasukan, Dion Cools.

Ketua jurulatih interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, mengesahkan Cools meninggalkan kem pasukan selepas perlawanan menentang Singapura di Bandung, Khamis lalu, atas urusan keluarga yang perlu diselesaikan segera.

Menurut Cheng Hoe, keputusan Cools itu perlu dihormati dan pasukan mendoakan segala urusannya dipermudahkan sebelum pemain berkenaan kembali menyertai skuad kebangsaan pada masa akan datang.

Memuatkan artikel berkaitan…

 “Selepas perlawanan menentang Singapura tempoh hari, Cools tidak bersama kita untuk perlawanan akan datang disebabkan beliau mempunyai urusan keluarga yang perlu diselesaikan dengan segera.

“Ketiadaan Cools sememangnya memberi kesan kepada pasukan, khususnya di bahagian pertahanan, memandangkan pemain itu bukan sahaja menjadi antara tonggak utama benteng negara, malah memainkan peranan penting sebagai ketua pasukan.

“Cools membimbing pertahanan dengan baik, namun semua pemain beri komitemen dalam tiga aksi terakhir. Sebagai jurulatih saya amat bangga dengan semua pemian, tetapi kita perlu konsisten lagi lawan Vietnam.

“Menentang Vietnam, ini satu lagi perlawanan yang sukar kerana kita akan berdepan lawan yang cukup kuat dari segi organisasi dan bermain secara berpasukan,” katanya.

Sementara itu, Cheng Hoe mengesahkan penyerang naturalisasi baharu, Bergson Da Silva bebas daripada sebarang penggantungan dan boleh boleh diturunkan ketika menentang Vietnam.

Menurut Cheng Hoe, pemain yang masih berada dalam kem negara kini perlu bangkit daripada kekecewaan selepas gagal mara ke final apabila Indonesia mengatasi Malaysia menerusi jumlah jaringan untuk muncul juara Kumpulan A.

Katanya, suasana dalam kem kekal positif selepas kemenangan besar ke atas Singapura membantu mengembalikan keyakinan pemain menjelang aksi terakhir mereka dalam kejohanan itu.

“Memang ketika itu keseluruhan pasukan termasuk pemain dan pegawai agak kecewa, tetapi walaupun kita tidak layak ke final, semua anggota pasukan kekal positif dan suasana cukup baik,” katanya.

Jurulatih berusia 58 tahun itu turut menegaskan skuad Harimau Malaya perlu mengekalkan prestasi serta konsistensi bagi memastikan kebangkitan pasukan dapat diteruskan.

“Kita kena kekalkan prestasi dan konsistensi kerana kemenangan pasukan datang daripada semangat berpasukan dan semangat juang yang baik. Itu yang kita mahu dalam usaha melihat Harimau Malaya bangkit semula,” katanya.

Sementara itu, perlawanan akhir Piala ASEAN FIFA 2026 akan menemukan Thailand dengan pasukan tuan rumah Indonesia dan dijadualkan berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, malam ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN