BUDAPEST: Juara Eropah, Audrey Werro meneruskan penguasaan dalam acara 800 meter (m) apabila menewaskan juara Olimpik, Keely Hodgkinson pada Kejohanan Olahraga Ultimate Dunia di Budapest, semalam.
Atlet dari Switzerland itu mencatat masa 1 minit 55.88 saat (s) untuk muncul juara selepas mendahului perlumbaan sejak awal, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalahnya dalam semua perlumbaan musim ini.
Hodgkinson dari Britain terpaksa berpuas hati di tempat kedua dengan catatan 1:56.26s, manakala Femke Broeders-Bol melengkapkan podium selepas mencatat masa 1:56.74s.
Werro yang dinobatkan juara Eropah pada kejohanan di Birmingham bulan lalu, mengawal perlumbaan sejak permulaan sebelum melepasi garisan loceng dengan catatan 57.84 saat.
Dengan baki 200 meter, Werro mula membuka jurang sebelum melakukan pecutan di laluan lurus terakhir untuk memastikan kemenangan selesa.
“Saya sangat gembira dengan segala yang saya lalui dan perlumbaan yang saya lakukan malam ini.
“Saya memenangi setiap perlumbaan yang saya sertai dalam musim luar kali ini. Ia sesuatu yang sukar dipercayai tetapi pada masa sama, ini adalah hasil kerja keras yang saya lakukan,” katanya.
Kemenangan itu turut menghadiahkan Werro wang tunai AS$150,000 (RM610,000), namun atlet berusia 22 tahun itu mengakui masih belum mempunyai perancangan khusus untuk menggunakan wang berkenaan.
“Mungkin saya akan menggunakannya untuk meningkatkan kerjaya saya, selain menikmati sedikit daripadanya dan melakukan sesuatu yang sudah lama saya impikan,” katanya.
Werro kini berada di tempat ketiga dalam senarai catatan terbaik sepanjang zaman selepas mencatat prestasi hebat musim ini, sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa dia mampu memecahkan rekod dunia 800m milik Jarmila Kratochvilova, 1:53.28s. – AFP










