Turkiye serbu pejabat, tahan aktivis LGBTQ

Turkiye serbu pejabat, tahan aktivis LGBTQ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Sekurang-kurangnya 47 individu ditahan dalam serbuan pihak berkuasa Turkiye terhadap pejabat persatuan LGBTQ di beberapa wilayah negara itu, sebagai sebahagian daripada siasatan berkaitan pelacuran dan perbuatan lucah.

Tindakan berkenaan adalah sebahagian daripada kempen kerajaan yang didakwa bertujuan melindungi nilai kekeluargaan.

Pejabat Ketua Pendakwa Raya Istanbul berkata, operasi dilancarkan pada hujung minggu lalu di 12 wilayah terhadap 38 suspek.

Daripada jumlah itu, 26 individu ditahan, manakala pihak berkuasa turut merampas dadah, peralatan digital, minuman keras seludup dan sepucuk senjata api.

Dalam perkembangan berasingan, Pejabat Ketua Pendakwa Raya Ankara berkata, 21 lagi individu ditahan dalam siasatan terhadap persatuan LGBTQ, Kaos GL. Lima lagi suspek masih diburu pihak berkuasa.

Bagaimanapun, Kaos GL mendakwa sekurang-kurangnya 50 aktivis ditahan, termasuk lebih 10 individu yang ditahan dalam serbuan polis di kediaman mereka.

Selain itu, pihak berkuasa menyekat akses kepada puluhan laman sesawang dan akaun media sosial yang dikaitkan dengan organisasi LGBTQ, aktivis serta pejuang hak asasi.

Operasi yang dinamakan ‘Keluarga Saya Selamat’ itu dilancarkan ketika Presiden Recep Tayyip Erdoğan mempromosikan inisiatif ‘Sedekad Keluarga dan Penduduk’ bagi menangani kadar kelahiran yang semakin menurun serta peningkatan jumlah penduduk berusia.

Kumpulan hak asasi menuduh kerajaan Turkiye semakin meningkatkan tekanan terhadap komuniti LGBTQ sejak beberapa tahun kebelakangan ini menerusi retorik yang semakin keras dan pengenalan pelbagai sekatan.

“Nama sebenar operasi ini bukan ‘Keluarga Saya Selamat’, sebaliknya diskriminasi yang didalangi negara, politik ketakutan dan usaha melumpuhkan masyarakat sivil,” kata Persatuan Hak Asasi Manusia Turkiye dalam hantaran di X.

Pelapor Turkiye bagi Parlimen Eropah, Nacho Sanchez Amor, menyifatkan gelombang penahanan besar-besaran itu sebagai “peningkatan mengejutkan” dalam tindakan penindasan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×