Simeone kecewa aksi hambar Atletico

Simeone kecewa aksi hambar Atletico

Pemain Athletic Bilbao, Yuri Berchiche diasak pemain tengah Atletico Madrid, Pablo Barrios, ketika aksi La Liga di Stadium San Mames, Bilbao.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BILBAO: Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone kecewa selepas anak buahnya hilang rentak pada babak kedua sehingga dibelasah Athletic Bilbao 3-0 dalam aksi La Liga, semalam.

Atletico yang menguasai sebahagian besar babak pertama gagal memanfaatkan peluang sebelum Athletic menghukum kelonggaran mereka menerusi dua gol pantas Nico Williams dan Robert Navarro sebaik babak kedua bermula sebelum Oihan Sancet melengkapkan kemenangan tuan rumah pada minit ke-90.

“Kami hilang tumpuan selama dua minit dan membuat keputusan yang kurang baik dalam situasi yang sepatutnya kami tangani dengan lebih baik. Bilbao mengambil kesempatan daripada kelemahan itu.

“Kami bermain dengan baik pada babak pertama tetapi permainan terlepas daripada kawalan kami dalam beberapa minit itu. 

“Kami kehilangan segala yang kami ada pada babak pertama ketika memasuki babak kedua,” kata Simeone.

Simeone kemudian memasukkan Julian Alvarez yang kembali selepas pulih daripada kecederaan, namun penyerang Argentina itu gagal mengubah nasib Atletico dan hanya menghasilkan satu percubaan dari luar kotak penalti yang mudah diselamatkan Unai Simon. 

Kekalahan itu menjadi yang pertama buat Atletico musim ini, manakala Athletic meraih kemenangan kedua berturut-turut di bawah kendalian Edin Terzic. 

Atletico kini perlu segera bangkit apabila dijadualkan berdepan Liverpool di Anfield dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah pada Khamis ini.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×