PETALING JAYA: Rombakan barisan pelumba pada saat-saat akhir bukan sesuatu yang mengejutkan menjelang Le Tour de Langkawi 2026 (LTdL26), malah perubahan itu dijangka berterusan sehingga mesyuarat pengurus pasukan 24 jam sebelum perlumbaan bermula.
Tiga hari sebelum Peringkat 1 Shah Alam-Kampar Ahad ini, 11 pasukan sudah melakukan perubahan terhadap senarai enam pelumba masing-masing, manakala dua pasukan lain memuktamadkan barisan terakhir mereka.
Antara nama besar yang muncul ialah juara pecut Grand Tour, Fernando Gaviria Rendon yang disenaraikan pasukan ProTeam Sepanyol, Caja Rural-Seguros RGA bagi menggantikan pelumba Portugal, Iuri Leitao.
Gaviria, 32, memiliki 52 kemenangan sepanjang karier termasuk lima peringkat Giro d’Italia dan dua peringkat Tour de France, sekali gus dijangka memeriahkan perebutan jersi biru Raja Pecut bersama pelumba XDS-Astana, Matteo Malucelli.
Ketua Pegawai Operasi Sekretariat LTdL2026, Emir Abdul Jalal berkata, perubahan barisan adalah perkara biasa kerana setiap pasukan perlu menilai kesesuaian pelumba dengan laluan serta tahap kecergasan terkini sebelum memuktamadkan pilihan.
“Kami tidak hairan dan sudah menjangkakan perubahan senarai pelumba kerana ia berlaku setiap tahun. Pasukan pasti mahu mengkaji bentuk laluan yang akan digunakan dan menilai tahap kecergasan terkini pelumbanya.”
Menurutnya, biarpun LTdL26 kehilangan beberapa nama seperti Jordan Jegat (TotalEnergies) dan Maikel Zijlaard (Tudor Pro Cycling Team), kehadiran Gaviria memberikan nilai tambah kepada perlumbaan kali ini.
“Walaupun kehilangan beberapa nama hebat seperti Jordan Jegat dan Maikel Zijlaard, kami mendapat khabar gembira apabila Gaviria disenaraikan, sekali gus mengangkat imej LTdL26 ini.”
Pasukan WorldTeam Belanda, Picnic PostNL turut melakukan rombakan besar dengan menggantikan empat pelumba, iaitu Matt Dinham, Tim Naberman, Milan de Causter dan Mees Vlot, dengan Mattia Gaffuri, Christiaan Van Rees, Matthew Peace dan Roy Hoogendorn.
Gaffuri dan Peace dijangka membantu Guillermo Juan Martinez di laluan pendakian, manakala Van Rees dan Hoogendorn memainkan peranan untuk pakar pecut Dillon Corkery.
Burgos Burpellet-BH pula memasukkan Daniel Cavia Sanz, Rodrigo Alvarez dan Tomoya Koyama untuk memperkuatkan jentera pecut, manakala Bardiani CSF 7 Saber menampilkan tiga pelumba muda, Filippo Cettolin, Santiago Ferraro dan Mattia Stenico.
Equipo Kern Pharma turut merombak barisan dengan menggugurkan Marc Brustenga dan Ivan Cobo sebelum menyenaraikan Ibai Azanza Burusco serta pelumba Taiwan, Ho Yan Yi, manakala Tudor menggantikan Zijlaard dengan pendaki berusia 22 tahun, Robin Donze.
TotalEnergies pula tidak menyenaraikan Jegat dan memilih Nicolas Breuillard, 26, yang bakal menyertai Astana musim depan selepas mencatat tempat kelima keseluruhan (GC) Tour of Turkiye dan Czech Tour tahun ini, selain menduduki tangga ke-50 GC Tour de France.
Beberapa pasukan Benua turut melakukan perubahan, antaranya 7-Eleven Cliqq Roadbike Philippines, KSPO Korea Selatan dan Aisan Racing Team Jepun, manakala Terengganu Cycling Team (TSG) menggantikan pakar pecut Perancis, Pierre Barbier dengan pelumba muda tempatan, Kee Zhe Yie.
Emir berkata, kemungkinan masih ada perubahan kecil apabila semua pengurus pasukan menyerahkan senarai muktamad dalam mesyuarat pengurus sebelum perlumbaan bermula.
Sementara itu, Malaysia Pro Cycling Team (MPC) dan skuad kebangsaan Malaysia sudah memuktamadkan enam pelumba masing-masing selepas selesai sesi pemilihan terakhir.
MPC diketuai juara kebangsaan 2026, Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil bersama Muhammad Iqbal Daniel Nawawi, Muhammad Syawal Mazlin, Muhammad Iqmal Zarawi, Muhammad Adam Danish Afdzal dan pelumba kelahiran Filipina, Erickson Lopez.
Skuad negara pula mempertaruhkan Muhammad Zawawi Azman selaku ketua pasukan bersama Chan Jian Le, Muhammad Adam Hakimi Nazuan, Muhammad Yusri Shaari, Muhammad Zahin Wahii dan Tsen Ren Han.
LTdL26 berstatus 2.ProSeries akan membuka tirai dengan Peringkat 1 Shah Alam-Kampar Ahad ini sebelum melabuhkan saingan menerusi Peringkat 8 Muar-Putrajaya, membabitkan jarak keseluruhan 1,285.5 kilometer.
Edisi ke-30 itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) dengan kerjasama Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM).-UTUSAN











