Pengurusan trauma perlukan pendekatan bersepadu

Pengurusan trauma perlukan pendekatan bersepadu

DR. Mahathar Abd. Wahab memukul gong sebagai simbolik perasmian Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026 di George Town, Pulau Pinang, hari ini. - UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pengurusan trauma di negara ini perlu ditangani secara bersepadu di peringkat nasional meliputi pencegahan kecederaan, rawatan kecemasan, perkhidmatan prahospital sehingga kepada proses pemulihan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr. Mahathar Abd. Wahab berkata,  pendekatan berkenaan penting bagi memastikan setiap pesakit trauma menerima rawatan yang tepat di tempat dan pada masa bersesuaian tanpa mengira lokasi mereka.

“Matlamat kita mesti membangunkan rangkaian trauma yang diselaraskan dengan baik supaya pesakit menerima rawatan yang betul, di tempat yang betul dan pada masa yang betul, tanpa mengira di mana mereka berada.

“Oleh itu, pengurusan trauma kini memerlukan pendekatan seluruh masyarakat dengan penglibatan kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi akademik serta komuniti bagi memperkukuh aspek pencegahan, tindak balas segera serta pemulihan jangka panjang,” katanya pada Persidangan Trauma Malaysia (MTC) 2026, hari ini.

Menurutnya, trauma kekal sebagai cabaran kesihatan awam yang penting di negara ini khususnya membabitkan golongan muda dan usia bekerja dengan kecederaan berkaitan pengangkutan antara penyumbang utama kepada kematian yang boleh dicegah.

Kata Dr. Mahathar, laporan pertama Daftar Trauma Kebangsaan (National Trauma Registry) pada 2008 di mana beliau antara penulis mendapati, sehingga 30 peratus kematian akibat trauma ketika itu dianggap boleh dicegah namun, keadaan berkenaan masih memerlukan perhatian serius.

“Pada masa sama, populasi kita semakin berusia dan ramai pesakit kini hadir dengan pelbagai penyakit kronik seperti diabetes, hipertensi dan penyakit kardiovaskular yang boleh mempengaruhi tindak balas terhadap trauma, kadar kemerosotan serta proses pemulihan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, rantaian kelangsungan trauma perlu diperkukuh bermula daripada tindak balas orang awam dan pertolongan cemas di tempat kejadian, perkhidmatan kecemasan pra-hospital, pengangkutan, resusitasi di Jabatan Kecemasan dan rawatan trauma definitif hingga pemulihan.

Katanya, setiap rantaian berkenaan perlu berfungsi dengan baik kerana kelemahan pada satu peringkat boleh menjejaskan keseluruhan hasil rawatan pesakit.

“Selain rawatan selepas kecederaan berlaku, kita juga perlu bergerak lebih ke depan dengan memperkukuh pencegahan kecederaan, advokasi keselamatan, pendidikan awam serta intervensi bersasar khususnya berkaitan kemalangan jalan raya dan kecederaan di tempat kerja,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jelajah Persidangan Transformasi Trauma Kebangsaan (National Trauma Transformation Conference Roadshow (NTTR)) 2025-2026 yang berlangsung di enam lokasi serantau di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menjadi platform penting untuk meningkatkan penjagaan trauma dengan menyelaraskan amalan klinikal tempatan kepada penanda aras global.

“Cabaran kita bukan untuk menghasilkan dasar dan garis panduan tetapi menterjemahkannya kepada pelan pelaksanaan yang boleh dilaksanakan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×