Penduduk Banten siap sedia hadapi tsunami

Penduduk Banten siap sedia hadapi tsunami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan Indonesia (BNPB) menilai kesiapsiagaan tsunami di sepanjang pantai Banten, termasuk Pandeglang, Serang dan Cilegon, susulan risiko aktiviti Gunung Anak Krakatau.

Penilaian yang bermula 6 September lalu itu menggunakan indikator standard program Sedia Tsunami bagi memastikan kerajaan tempatan dan masyarakat di kawasan berisiko mempunyai tahap kesiapsiagaan yang mencukupi.

Pemangku Ketua Pusat Data, Maklumat dan Komunikasi Kebencanaan BNPB, Berton SP Panjaitan, berkata pasukan Timbalan Pencegahan BNPB menjalankan penilaian berkenaan dengan menyelaras tindakan bersama kerajaan tempatan, selain memantau kawasan berisiko dan menyediakan bantuan kesiapsiagaan.

Katanya, langkah itu penting bagi memastikan kawasan penempatan dan lokasi penting yang berdepan ancaman tsunami mempunyai persediaan mencukupi, khususnya kawasan yang pernah terjejas akibat tsunami Selat Sunda pada 2018.

“Penilaian kesiapsiagaan dijalankan di Tanjung Lesung, Desa Sumberjaya dan Desa Panimbangjaya di Pandeglang, selain beberapa desa pesisir di Serang dan Cilegon bagi memastikan kemudahan amaran awal berfungsi,” katanya.

Penilaian itu turut memberi tumpuan kepada keupayaan sistem amaran awal dan tahap kesiapsiagaan masyarakat dalam menghadapi kemungkinan tsunami akibat aktiviti Gunung Anak Krakatau.

Di Pandeglang, BNPB mendapati siren amaran tsunami di daerah Sumur dan Panimbang berfungsi dengan baik, manakala laluan pemindahan telah disediakan dengan sempurna dan simulasi bencana dijalankan secara berkala.

Bagaimanapun, sistem penerima amaran (WRS) Gen di Tanjung Lesung masih dalam proses pembaikan ketika penilaian dijalankan.

Di Serang, pemeriksaan di Desa Salira, Karang Suraga dan Desa Anyar mendapati forum pengurangan risiko bencana serta sukarelawan pesisir pantai beroperasi dengan berkesan, disokong siren amaran yang berfungsi dan peta laluan pemindahan ke kawasan selamat.

Sementara itu, penilaian di Kelurahan Kubangsari, Cilegon, mengesahkan kewujudan prosedur operasi standard (SOP) amaran awal bencana, selain peranan aktif petugas desa dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk.- ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×