BAITULMUQADDIS: Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, berkata partinya, Otzma Yehudit, akan menggesa penubuhan kementerian khusus bagi menggalakkan ‘penghijrahan sukarela’ rakyat Palestin dari Gaza jika parti itu menyertai kerajaan Israel akan datang.
Ben-Gvir berkata, partinya mahu mengawal kementerian berkenaan selain memperoleh kuasa dan peruntukan bagi melaksanakan dasar itu.
Beliau mendakwa usaha membantu rakyat Palestin yang mahu meninggalkan Gaza dan berpindah ke luar negara akan memberi manfaat kepada Israel serta mereka yang mahu berbuat demikian.
Cadangan itu terkandung dalam pelan yang diperkenalkan Ben-Gvir dengan nama ‘Disengagement 710’.
Menurut angka yang dikemukakan partinya, pelan itu menyasarkan penghijrahan kira-kira 250,000 penduduk Gaza pada tahun pertama, 1.11 juta dalam tempoh tiga tahun dan sekitar 1.86 juta dalam tempoh tujuh tahun.
Otzma Yehudit berkata pelan itu melibatkan penubuhan kementerian khusus, rundingan dengan negara yang bersedia menerima rakyat Palestin dari Gaza serta pemberian bantuan kepada mereka yang meninggalkan wilayah itu, termasuk kos perjalanan, perumahan, latihan vokasional dan pekerjaan.
Parti itu mengenal pasti Turkiye, Ethiopia dan Republik Demokratik Congo, selain beberapa negara Arab yang tidak dinamakan, sebagai destinasi berpotensi.
Bagaimanapun, tiada satu pun negara yang disebut secara terbuka bersetuju untuk menyertai pengaturan berkenaan.
Ben-Gvir menyifatkan cadangan pemindahan itu sebagai langkah secara sukarela. Namun, cadangan untuk memindahkan rakyat Palestin dari Gaza secara besar-besaran mencetuskan kritikan antarabangsa serta kebimbangan pemindahan dalam keadaan akibat perang, kemusnahan atau kekurangan bekalan asas boleh dikategorikan sebagai pemindahan secara paksa.
Undang-undang kemanusiaan antarabangsa melarang pemindahan atau pengusiran paksa orang awam yang dilindungi dari wilayah diduduki, kecuali dalam keadaan tertentu yang ditetapkan secara ketat.
Amerika Syarikat (AS) juga sebelum ini menyatakan pendirian menentang pemindahan atau pengusiran paksa rakyat Palestin dari Gaza.
Cadangan itu merupakan inisiatif parti Otzma Yehudit pimpinan Ben-Gvir dan ketika ini bukan dasar rasmi kerajaan Israel. Pelaksanaannya memerlukan kelulusan politik serta persetujuan dengan negara yang bersedia menerima rakyat Palestin yang meninggalkan Gaza.- AGENSI







