SINGAPURA: Meta mengambil tindakan terhadap lebih 3.7 juta akaun, halaman dan kandungan lain yang dikaitkan dengan kegiatan penipuan sepanjang tahun ini hasil maklumat disalurkan Pasukan Polis Singapura (SPF).
Gergasi media sosial itu berkata, kerjasama perkongsian maklumat dengan SPF sejak dua tahun lalu membantu penyiasat mengenal pasti serta melumpuhkan keseluruhan rangkaian penipuan.
“Kerjasama ini membolehkan penyiasat kami mengenal pasti dan melumpuhkan seluruh ekosistem penipu,” menurut Meta dalam taklimat media, semalam.
Antara Januari hingga Jun lalu, Meta menghapuskan lebih 113,000 entiti dan halaman berkaitan penipuan di Facebook dan Instagram.
Jun lalu, syarikat itu turut menumpaskan lebih 33,600 entiti dan halaman yang dikaitkan dengan penipu yang cuba mengambil kesempatan menjelang cuti persekolahan.
Meta berkata, kumpulan berkenaan menyasarkan keluarga yang ketika itu giat mencari tawaran perjalanan menarik di laman sesawang pelancongan.
Pada Julai pula, Meta mengambil tindakan terhadap lebih 3.6 juta entiti dan halaman. Sebahagian besar daripadanya ialah ‘halaman kosong’ yang tidak mempunyai kandungan atau tidak digunakan secara aktif.
Bagaimanapun, halaman berkenaan masih boleh diperoleh penipu untuk digunakan bagi kegiatan mereka pada masa akan datang.
Meta tidak memberikan angka perbandingan bagi tempoh sebelumnya.
Memandangkan penipu beroperasi merentasi pelbagai platform dan negara, Meta mengakui pihaknya tidak mempunyai gambaran menyeluruh mengenai skala masalah berkenaan.
Pengarah Hubungan Penguatkuasaan Undang-Undang Asia Pasifik Meta, Daryl Poon, berkata kerjasama dengan SPF membantu syarikat itu mengenal pasti ancaman yang mungkin tidak dapat dikesan menerusi usaha sendiri.
“Penipu bergantung pada hakikat bahawa tiada satu organisasi mempunyai gambaran keseluruhan. Apa yang kami bina bersama Pasukan Polis Singapura mengubah keadaan itu,” katanya.
Menurutnya, maklumat yang disalurkan polis membantu Meta mengenal pasti ancaman yang mungkin terlepas daripada pengesanan syarikat itu.
“Keupayaan kami untuk bertindak dalam skala besar membolehkan rangkaian ini dilumpuhkan sebelum mencapai lebih ramai mangsa,” katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan SPF merupakan model yang mahu terus diperkukuh di Singapura dan negara lain di rantau ini.
Sementara itu, Pengarah Dasar Awam Meta bagi Asia Tenggara, Clara Koh, berkata penipu kini menjalankan kegiatan pada skala besar serta menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan profil palsu secara besar-besaran, memanipulasi imej dan menjana kod berniat jahat.
Katanya, Meta terus memperkukuh sistem pertahanan di semua platform miliknya bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap kandungan penipuan secepat mungkin, khususnya sebelum kandungan berkenaan dilihat pengguna.- AFP











