Mangsa ajak bapa solat Isyak sehari sebelum kejadian - Nenek - Utusan Malaysia

Mangsa ajak bapa solat Isyak sehari sebelum kejadian – Nenek

MAHANI Mad Som, 63, nenek kepada kanak-kanak berusia lima tahun, Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa menunjukkan lokasi kejadian di Kampung Padang, Tanjung Sedili, Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang maut dicampak bapa saudaranya ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini semalam sempat mengajak bapanya menunaikan solat Isyak, sehari sebelum kejadian.

Mahani Mad Som, 63, nenek kepada mangsa, Puteri Nur Afiyah Qalesya Mustafa berkata, tindakan cucunya yang bersungguh-sungguh mengajak bapanya menunaikan solat itu menarik perhatiannya.

Menurutnya, sebelum itu cucunya tidak pernah berkata sedemikian.

“Dia tidak pernah cakap macam itu. Jadi semalam memang pertama kali saya dengar dia ajak bapanya solat bersama-sama,” katanya ketika ditemui pemberita di kediaman keluarga tersebut, di sini.

Selain itu, Mahani turut memberitahu mereka sempat bersarapan bersama-sama ahli keluarga yang lain sebelum kejadian berlaku.

“Puteri juga ada bermain buai tetapi selepas itu saya tidak tahu dia pergi ke mana. Saya tanya bapanya, dia juga tidak tahu menyebabkan saya mula berasa tidak sedap hati.

“Saya ajak menantu ke sungai berhampiran sebelum ternampak selipar Puteri di atas kawasan tebing,” katanya sambil menambah mangsa merupakan seorang kanak-kanak yang periang dan banyak bercerita apabila mereka bertemu.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menahan suspek susulan laporan diterima berhubung kejadian pada pukul 9.30 pagi.

“Polis terima laporan berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan telah mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun.

“Sebelum itu, suspek dipercayai telah mencampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×