Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ambil bot hanyut

Lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ambil bot hanyut

ANGGOTA bomba melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Perak di Batu 18, Kampung Kuchai, Bota Kiri di Parit semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjun ke Sungai Perak di Batu 18, Kampung Kuchai, Bota Kiri di sini, semalam.

Difahamkan, mangsa berusia 38 tahun itu dilaporkan terjun ke sungai selepas mendapati bot miliknya hanyut dari sangkar ikan di tebing Sungai Perak.

Anak saudara mangsa cuba menghulurkan bantuan ketika lelaki berkenaan berada di dalam sungai, namun gagal menyelamatkannya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu pada pukul 5 petang.

Katanya, operasi pencarian dilakukan pasukan bomba bersama orang awam di sepanjang tebing sungai secara pencarian di permukaan sehingga pukul 9.45 malam, namun mangsa masih belum ditemui.

“Pusat Kawalan Bomba (PKB) turut didirikan di Stesen Pam Lambor Kiri bagi menyelaras operasi pencarian.

“Operasi akan disambung pada pukul 8 pagi hari ini dengan bantuan lapan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) masing-masing empat anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan dan BBP Pulau Pangkor,” katanya.

Menurut beliau, pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) bomba akan membantu operasi pencarian mangsa hari ini.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa disertai anggota BBP Seri Iskandar, BBP Parit dan BBP Kampung Gajah,” katanya. –UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×