KOTA TINGGI: Seorang lelaki tempatan yang bertindak mencampak anak saudaranya berusia lima tahun ke dalam sungai di Kampung Padang, Tanjung Sedili, di sini semalam direman tujuh hari, bermula hari ini.
Perintah reman terhadap suspek berusia 37 tahun itu dikeluarkan Hakim, Hafizah Abdul Rajak di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, di sini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sebelum dibawa ke mahkamah, suspek telah dibawa bagi mendapatkan rawatan di Hospital Kota Tinggi terlebih dahulu.
Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menahan suspek susulan laporan diterima berhubung kejadian pada pukul 9.30 pagi.
“Polis terima laporan berkenaan kejadian seorang lelaki tempatan telah mengamuk dengan bersenjatakan parang dan mengejar seorang lelaki berusia 40 tahun.
“Sebelum itu, suspek dipercayai telah mencampak seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun ke dalam sungai sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak tersebut,” katanya.-UTUSAN











