WASHINGTON: Bekas wanita pertama Venezuela, Cilia Flores de Maduro, memohon kepada mahkamah supaya dibebaskan daripada tahanan persekutuan Amerika Syarikat (AS) atas alasan keadaan jantungnya semakin merosot.
Dalam permohonan pembebasan sementara sebelum perbicaraan yang difailkan pada Rabu, pasukan guamannya meminta mahkamah membenarkan Flores menunggu perbicaraan di bawah tahanan di rumah di Manhattan.
Menurut dokumen mahkamah, keadaan kesihatan Flores merosot sejak operasi ketenteraan AS pada 3 Januari yang membawa kepada penculikannya dari Caracas dan penahanannya di New York, bersama suaminya, bekas Presiden Venezuela, Nicolas Maduro.
“Sebelum pencerobohan tentera AS ke atas Venezuela, Cik Flores de Maduro berada dalam keadaan sihat dan tidak mengambil sebarang ubat secara berterusan, kecuali suntikan bulanan bagi membantu mengawal prolaps injap mitral.
“Namun kini, beliau diberikan empat jenis ubat, sentiasa membawa nitrogliserin sebagai persediaan sekiranya berlaku serangan jantung dan berdepan nasihat perubatan berterusan yang mencadangkan pemeriksaan saluran koronari serta pembedahan,” menurut dokumen itu.
Flores merupakan tokoh penting dalam pentadbiran suaminya dan berkhidmat sebagai wanita pertama sejak Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden pada 2013.
Sebelum Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden buat kali pertama, Flores turut menjadi anggota utama Parti Sosialis Bersatu Venezuela (PSUV), gerakan politik dominan negara itu, dan menerajui Dewan Negara selama lebih empat tahun.
Menurut pasukan guaman Flores, keadaan kesihatannya mula dipersoalkan sejak beliau dibawa keluar dari Venezuela secara paksa.
Selepas mendapatkan pandangan pakar perubatan luar, peguam Flores berkata mereka percaya beliau mungkin mengalami serangan jantung ringan pada 29 Julai ketika berada dalam tahanan AS.
Mereka turut mempersoalkan sama ada Flores menerima rawatan perubatan yang sewajarnya bagi mengawal prolaps injap mitral, iaitu keadaan yang menjejaskan salah satu injap jantung.
Sejak dipenjarakan, peguamnya berkata Flores tidak menerima suntikan bulanan yang diperlukan untuk mengawal keadaan itu.
Sebaliknya, beliau dilaporkan diberikan aspirin dos rendah, statin, diltiazem dan nitrogliserin untuk digunakan apabila mengalami sakit dada.
Doktor mengesyorkan supaya beliau menjalani prosedur jantung yang berkemungkinan memerlukan pembedahan jantung tambahan.
Jika menjalani rawatan itu, Flores memerlukan tempoh secukupnya untuk pulih daripada sebarang prosedur dalam keadaan yang membantu memulihkan kesihatannya, kata peguamnya.- AL JAZEERA










