Indonesia rekod 1,730 bencana alam dalam tempoh 8 bulan

Indonesia rekod 1,730 bencana alam dalam tempoh 8 bulan

SEORANG penduduk berjalan di celah himpunan kayu balak yang dihanyutkan banjir besar di Tapanuli, Sumatera Utara, Indonesia. –AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Indonesia merekodkan 1,730 bencana alam sepanjang tempoh 1 Januari hingga 7 September tahun ini, dengan bencana hidrometeorologi dan geologi mendominasi kejadian yang berlaku di negara itu.

Setiausaha Agensi Mitigasi Bencana Kebangsaan (BNPB), Rustian, berkata jumlah itu berdasarkan data yang dikumpulkan agensi berkenaan sehingga semalam.

“Berdasarkan data yang dikumpulkan BNPB sehingga 7 September, sebanyak 1,730 bencana berlaku, dengan hidrometeorologi dan geologi mencatatkan jumlah tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar di Jakarta hari ini.

Menurutnya, semua 514 daerah dan bandar di 38 wilayah Indonesia masih berdepan tahap kerentanan bencana sederhana hingga tinggi.

Beliau berkata, antara bencana hidrometeorologi yang direkodkan melibatkan 627 kejadian kebakaran hutan dan tanah, 543 banjir, 324 cuaca ekstrem, 105 tanah runtuh, 101 kejadian kemarau dan 14 insiden berkaitan gelombang pasang serta hakisan pantai.

Beliau kemudian mengulas mengenai bencana geologi, dengan menyatakan sebanyak 13 gempa bumi besar dan tiga letusan gunung berapi dilaporkan berlaku di beberapa wilayah di seluruh negara.

Katanya, bencana berkenaan turut menyebabkan kerosakan besar terhadap struktur bangunan, dengan keseluruhan 111,533 rumah terjejas di seluruh Indonesia.

Pegawai itu mengesahkan sebanyak 29,143 rumah mengalami kerosakan teruk, manakala 24,521 lagi rosak sederhana dan 57,869 rumah mengalami kerosakan ringan.

Kesan bencana turut melibatkan infrastruktur dan kemudahan awam, termasuk 2,361 institusi pendidikan, 867 rumah ibadat, 230 kemudahan kesihatan primer dan rujukan, 751 pejabat serta 92 jambatan.

Sebagai langkah menangani situasi itu, BNPB berusaha mempercepatkan tindakan kecemasan selain melaksanakan pemulihan dan pembinaan semula segera dengan menyelaraskan sumber di peringkat nasional serta membantu kerajaan wilayah.

Rustian berkata siling peruntukan sebanyak 1.12 trilion rupiah (kira-kira RM257 juta) diluluskan untuk operasi agensi itu pada 2027.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 126.24 bilion rupiah diperuntukkan bagi meneruskan usaha pemulihan di Aceh, Sumatera Utara dan Sumatera Barat susulan kejadian banjir dan tanah runtuh besar-besaran pada 2025.- ANTARA

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×