Ibu tujuh anak tular ketika kadar kelahiran di Jepun merosot

Ibu tujuh anak tular ketika kadar kelahiran di Jepun merosot

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TOKYO: Seorang penulis dan bekas calon politik Jepun mencuri perhatian selepas mengumumkan kelahiran anak ketujuhnya ketika negara itu berdepan kadar kelahiran yang semakin merosot.

Kotoe Hashimoto mengumumkan menerusi platform X pada 29 Ogos beliau selamat melahirkan anak ketujuh, selain mengucapkan terima kasih kepada petugas perubatan yang membantu proses kelahiran berkenaan.

Hantaran yang turut memaparkan gambar Hashimoto mendukung bayi itu mendapat perhatian meluas apabila ditonton sebanyak 27 juta kali di X dan menerima 10,800 tanda suka di Facebook.

Dalam hantaran susulan pada hari sama, Hashimoto turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai atas ucapan tahniah yang diterimanya.

“Saya percaya sekarang adalah masa untuk wanita Jepun mempunyai anak. Bangkit dan jatuhnya negara kita bergantung kepada peranan aktif wanita,” katanya.

Hashimoto, yang bertanding sebagai calon Parti Harapan pada pilihan raya umum 2017, sering menggunakan akaun media sosialnya untuk membincangkan cabaran demografi yang dihadapi Jepun serta menggalakkan wanita di negara itu mempunyai lebih ramai anak.

Hashimoto bagaimanapun tidak berjaya memenangi kerusi berkenaan, manakala parti konservatif itu yang diasaskan Gabenor Tokyo, Yuriko Koike, dibubarkan pada Oktober 2021.

Kelahiran anak ketujuh Hashimoto berlaku ketika kadar kesuburan Jepun terus merosot ke paras terendah baharu pada 2025, sekali gus meneruskan trend penurunan sejak sedekad lalu meskipun kerajaan melaksanakan pelbagai usaha untuk mengatasi masalah berkenaan.

Menurut data Kementerian Kesihatan, Buruh dan Kebajikan Jepun, kadar kesuburan keseluruhan, purata bilangan anak yang dijangka dilahirkan oleh seorang wanita sepanjang tempoh reproduktifnya, turun kepada 1.14 pada 2025 berbanding 1.15 pada tahun sebelumnya.

Kadar itu merupakan yang terendah sejak rekod perbandingan mula dikumpulkan pada 1947.

Jepun, antara negara yang mempunyai penduduk tertua di dunia, kini berdepan tekanan demografi yang semakin meningkat.

Penyusutan tenaga kerja serta peningkatan kos keselamatan sosial memberi tekanan kepada kewangan awam, ketika kerajaan turut berusaha meningkatkan perbelanjaan pertahanan dan membiayai pelbagai inisiatif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×