GEN-Z Nasyid Showcase tampil kumpulan nasyid baharu

GEN-Z Nasyid Showcase platform perkenal artis nasyid baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Generasi baharu perlu mengenali, menghargai dan meneruskan warisan yang telah dibina sambil mencipta identiti serta karya mereka sendiri dalam mendepani evolusi muzik nasyid.

Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Hazamin Harun berkata, usaha memperkenalkan nasyid kepada generasi muda juga perlu bergerak seiring dengan perubahan zaman.

Sebagai badan induk, katanya, Munsyid Malaysia menyokong aktiviti Munsyid Muda dalam usaha mendekatkan irama nasyid kepada generasi baharu.

“Kita mahu generasi muda melihat nasyid sebagai sesuatu yang dekat dengan mereka. Bukan sekadar dari segi mesej dan nilai, tetapi juga dari segi muzik, persembahan dan pengalaman yang mereka rasai.

“Kita mahu membuktikan bahawa nasyid boleh bergerak ke hadapan, tampil moden dan bertenaga, namun pada masa sama tetap mengekalkan identiti serta rohnya sendiri,” katanya.

Hazamin yang juga vokalis Inteam berkata, generasi baharu memikul tanggungjawab untuk memastikan legasi yang telah dibina oleh kumpulan-kumpulan terdahulu tidak terhenti begitu sahaja.

“Kita berdiri hari ini atas bahu mereka yang telah membina industri ini. Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam, UNIC, Saujana, NowSeeHeart, Brothers dan banyak lagi telah meninggalkan satu legasi yang sangat besar.

“Sokongan Munsyid Malaysia kepada Munsyid Muda adalah sebahagian daripada usaha menyambung legasi itu, dengan membawa obor yang sama menerusi langkah dan suara generasi baharu,” katanya.

GEN-Z Nasyid Showcase & Concert diperkenalkan sebagai sebuah platform baharu yang membawa nafas segar kepada industri nasyid Malaysia, dengan mengetengahkan barisan artis generasi baharu menerusi pendekatan persembahan yang lebih moden, bertenaga dan dekat dengan generasi muda.

Program ini menampilkan MUNSYID Muda iaitu sebuah pasukan penyanyi nasyid muda di bawah Munsyid Malaysia, yang dibarisi oleh AEYDAN, ONEPATH dan ANDIKA.

Mereka bakal mengisi pentas GEN-Z NASYID SHOWCASE & CONCERT dengan persembahan serta identiti muzik masing-masing.

Program ini diwujudkan bukan sekadar sebagai sebuah acara hiburan atau persembahan pentas, sebaliknya membawa misi yang lebih besar untuk memperkenalkan wajah baharu nasyid, membuka ruang kepada bakat muda serta memastikan kesinambungan industri nasyid di negara ini terus berkembang.

Antara matlamat utama program ini adalah meneruskan legasi besar yang telah dibina oleh kumpulan-kumpulan nasyid terdahulu, khususnya nama-nama yang pernah mewarnai dan mengangkat industri nasyid Malaysia seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz, Inteam, UNIC, Saujana, NowSeeHeart, Brothers dan ramai lagi.

Legasi mereka bukan sekadar meninggalkan lagu dan karya untuk dikenang, tetapi turut membentuk identiti, budaya serta asas penting kepada perkembangan industri nasyid.

Justeru, MUNSYID Muda sebagai pasukan penyanyi nasyid muda di bawah Munsyid Malaysia hadir dengan semangat untuk menyambung obor tersebut kepada generasi seterusnya, menerusi pendekatan baharu yang bersesuaian dengan zaman dan cita rasa generasi hari ini.

Bagi merealisasikan misi tersebut, GEN-Z Nasyid Showcase & Concert dirangka dalam bentuk empat siri showcase mengikut zon, melibatkan Lembah Klang, Pantai Timur, Zon Utara dan Zon Selatan, sebelum kemuncaknya menerusi sebuah konsert berskala besar pada Januari 2027.

Siri jelajah GEN-Z NASYID SHOWCASE telah membuka tirainya pada 7 Ogos lalu menerusi showcase pertama yang berlangsung di Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hisamuddin (SAMTISH), Klang.

Program kemudiannya akan diteruskan ke Zon Pantai Timur pada 18 September ini, di SMK Ibrahim Fikri, Kuala Terengganu.

Showcase di Terengganu bakal menampilkan persembahan berbeza daripada barisan artis utama, selain turut memberi ruang kepada bakat muda menerusi persembahan khas nasyid sekolah oleh kumpulan Jilul Quran dan Shoutul Muhammadi ’25.

Penglibatan kumpulan nasyid sekolah ini menjadi sebahagian daripada inisiatif Munsyid Muda, dengan sokongan Munsyid Malaysia sebagai badan induk, untuk mewujudkan jambatan antara artis generasi baharu dengan bakat muda yang sedang berkembang, khususnya di institusi pendidikan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×