Cuaca cerah, laut tenang ketika tujuh sekawan keluar memancing

Cuaca cerah, laut tenang ketika tujuh sekawan keluar memancing

Tujuh pemancing hilang
AHLI keluarga kepada tujuh pemancing sekawan yang hilang di tengah laut berkumpul di PKH operasi SAR di Jeti Sementa, Pangkalan Nelayan Sementa di Kapar, Klang, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Laut tenang dan cuaca cerah demikian dakwaan kepada ahli keluarga kepada salah seorang daripada tujuh pemancing sekawan yang dilaporkan hilang selepas turun ke laut dari Jeti Sementa, di sini, kelmarin.

Abang ipar kepada Mohd. Shahril Abd. Rahman, 43, Sahril Samsuri, 46, berkata, dia juga kerap turut memancing bersama adik iparnya itu dan dua rakan lain yang juga mangsa iaitu Muhd. Hamiszar Puniran, 45.

“Ketika kejadian, cuaca memang baik dan laut pula tidak bergelora. Sebagai seorang kaki pancing pun memang tak ada sebab kenapa hendak patah balik atau membatalkan hasrat untuk memancing.

“Cuma bila kehilangan mereka dilaporkan, baru ahli keluarga dan penduduk tempatan beritahu beberapa jam selepas bot berlepas, angin mula bertiup kuat dan hujan turun, tetapi tak tahulah keadaan di tengah laut. Saya berharap mereka selamat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan tujuh sekawan dilaporkan hilang selepas keluar memancing dengan menaiki sebuah bot dari Jeti Sementa kira-kira pukul 8 pagi kelmarin.

Mereka yang hilang adalah Mohd. Shahril, Mohd Shairazi Abdul Aziz, 43; Muhd. Hamiszar Puniran, 45; Mohd. Rizal Mohamad Sadali, 45; Muhammad Ridzuan Ruhaizat, 37; Zulfilkalnain Awang, 47 dan Raja Mohd. Rozi Raja Mohamud, 49, yang juga dikenali sebagai Tok Penghulu.

Sementara itu perkembangan di Pos Kawalan Hadapan (PKH) operasi mencari dan menyelamat (SAR) itu diselaras oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor yang turut disertai oleh Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Seramai 40 pegawai dan anggota terlibat dalam operasi tersebut yang dibantu dengan aset-aset seperti tiga buah kereta, sebuah jentera dan tiga buah bot serta sebuah pesawat bombardier bagi pemantauan melalui udara.

Difahamkan, operasi yang sebelum ini tertumpu di sekitar perairan One Fathom Bank berhampiran Pulau Ketam, Pelabuhan Klang diperluaskan sehingga ke perairan Kuala Selangor dan Sabak Bernam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×