BOVAEP perkukuh piawaian pengurusan harta menerusi MPMS Edisi Ketiga - Utusan Malaysia

BOVAEP perkukuh piawaian pengurusan harta menerusi MPMS Edisi Ketiga

ABDUL Razak Yusak (tengah) pada Majlis Konvokesyen Ke-28 dan Peluncuran MPMS Edisi Ketiga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG: Lembaga Penilai, Pentaksir, Ejen Harta Tanah dan Pengurus Harta (BOVAEP) melancarkan Piawaian Pengurusan Harta Malaysia (MPMS) Edisi Ketiga bagi memperkukuh piawaian profesional dalam bidang pengurusan harta.

Presiden BOVAEP dan Ketua Pengarah Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), Datuk Sr Abdul Razak Yusak berkata, profesion harta tanah yang kukuh dan diyakini mampu menyumbang kepada kesejahteraan ekonomi Malaysia secara lebih menyeluruh.

“Harta bukan sahaja merupakan aset penting bagi individu dan perniagaan, malah sebahagian daripada infrastruktur yang menjadi tempat komuniti dan aktiviti ekonomi berlangsung.

“Oleh itu, memastikan para profesional yang menyokong sektor ini mempunyai kompetensi, beretika dan bertanggungjawab adalah penting.

“Ini bagi melindungi kepentingan awam, menyokong keyakinan pelaburan serta mengekalkan kepercayaan terhadap pasaran harta tanah Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Ke-28 dan Peluncuran MPMS Edisi Ketiga, di sini.

Menurut Abdul Razak, peluncuran MPMS Edisi Ketiga merupakan sebahagian daripada mandat lebih luas BOVAEP dalam memperkukuh amalan profesional dalam bidang pengurusan harta.

Katanya, piawaian berkenaan menyediakan rujukan terkini kepada pengamal industri bagi menyokong keseragaman, profesionalisme dan kebertanggungjawaban dalam pengurusan harta serta komuniti.

“Edisi terkini ini merupakan kemas kini daripada edisi terdahulu bagi memenuhi keperluan sektor pengurusan harta yang terus berkembang.

“Antara perkembangan utama daripada MPMS Edisi Kedua kepada Edisi Ketiga ialah pengenalan piawaian baharu bagi Pengurusan Strata dan Pengurusan Harta Mampan,pengenalan Kod Tatakelakuan dan Etika bagi Pengurus Harta serta
penetapan syarat, had dan penafian bagi perkhidmatan pengurusan harta.

“Ia turut merangkumi pengiktirafan rasmi Pembantu kepada Pengurus Harta (A-PM), peluasan kategori pelanggan merangkumi Amanah Pelaburan Harta Tanah (REIT) dan persatuan penduduk serta penggabungan Pengurusan Bangunan dengan Pengurusan Penyelenggaraan,” katanya.

BOVAEP yang ditubuhkan pada 1981 bertanggungjawab mengawal selia profesion harta tanah di Malaysia, termasuk menyelenggara daftar profesional, meluluskan permohonan pendaftaran, menjalankan peperiksaan, menyelia prosiding tatatertib serta menegakkan tatakelakuan dan etika profesional.

Dalam majlis sama, BOVAEP turut mengadakan Majlis Konvokesyen Profesional yang dianjurkan setiap tahun sebagai manifestasi peranan badan itu dalam membangunkan dan mengawal selia profesion harta tanah di Malaysia.

BOVAEP menyampaikan 100 Sijil Kebenaran untuk Beramal (Certificates of Authority to Practise) kepada penilai, ejen harta tanah dan pengurus harta bagi tempoh 2025/2026.

Selain itu, Diploma dalam Agensi Harta Tanah 2025 (2025 Diploma in Estate Agency) turut disampaikan pada majlis berkenaan.

Pelajar cemerlang dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) turut menerima pengiktirafan atas pencapaian akademik mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×