KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu bahawa bekas Pengurus Kanan Petronas, Mohd. Khairul Akmal Mohd. Jasni pernah menghadiri sesi temu duga tidak rasmi bersama seorang pegawai Petroleum Sarawak Berhad (Petros).
Perkara itu didedahkan saksi pendakwaan kelima yang juga rakan sekerja serta kenalan rapat kepada Mohd. Khairul Akmal, 41, pada pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Noor Syafina Mohd. Radzuan.
Katanya, pertemuan itu berlaku antara tertuduh dan Ketua Pegawai Kewangan Petros, Mohd. Azha Abdul Jalil di Kelab Golf Kuala Lumpur (KLGCC).
Noor Syafina: Boleh puan nyatakan, sebagai rakan yang rapat dengan dia, adakah kamu mempunyai apa-apa pengetahuan berkenaan Mohd. Khairul dan Petroleum Sarawak?
Saksi: Saya tahu, dia memohon kerja dekat Petroleum Sarawak.
Noor Syafina: Berkenaan permohonan kerja ini, ada puan ‘follow up’ tentang apa jadi dengan permohonan ini?
Saksi: Selepas dia pergi temuduga tu, saya ada tanya dia macam mana dengan temuduga itu.
Noor Syafina: Puan tahu atau tidak dia interview dengan siapa?
Saksi: Secara formal, yang betul-betul interview adalah dengan Azha dan Abang Arabi (Naib Presiden Kanan SRM, Datuk Abang Arabi Abang Narudin).
Noor Syafina: Puan kata temu duga secara formal. Bagaimana dengan yang tidak formal?
Saksi: Dia pernah berjumpa dengan Encik Azha dekat KLGCC sebelum temu duga formal.
Mengikut pertuduhan, Mohd. Khairul Akmal ketika menjalankan tugas sebagai Pengurus Prestasi Unit Perniagaan Petronas cuba mendedahkan maklumat dokumen Q1 2024 Upstream Business Performance Operational and Financial kepada Petros di antara pukul 3.19 dan 3.21 petang, 8 Jun 2024 di Jalan Pinang, Dang Wangi.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 203A (1) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 511 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1 juta atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, saksi itu yang juga bekas pegawai Jabatan Sumber Manusia (HR) di Petronas pada ketika itu memberitahu, Mohd. Khairul Akmal pernah meminta nasihat berhubung tawaran kadar gaji bagi jawatan Head of Upstream Finance di Petros.
“Saya tidak berapa ingat (tawaran gaji), tapi dia pernah tanya saya berapa gaji yang sepatutnya diminta. Saya juga pernah nasihat dekat dia dalam kapasiti saya sebagai HR melihat kepada skop tugasan. Jadi, saya ada bagi cadangan berapa dia patut minta,” katanya.
Prosiding turut dikendalikan peguam bela, Louis Liaw Vern Xien mewakili Mohd. Khairul Akmal.
Perbicaraan di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid bersambung esok. – UTUSAN











