Banjir, tanah runtuh landa utara Vietnam ragut tiga nyawa

Banjir, tanah runtuh landa utara Vietnam ragut tiga nyawa

ORANG ramai meredah air banjir di Nha Trang di wilayah pesisir Khanh Hoa, Vietnam. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HANOI: Hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di beberapa kawasan di utara Vietnam, mengorbankan tiga orang serta merosakkan ribuan rumah dan lebih 22,000 hektar tanaman.

Wilayah utara negara itu dilanda hujan lebat sejak 14 September lalu, dengan beberapa kawasan menerima sehingga 653 milimeter (mm) hujan, menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang kerajaan.

Lebih 16,000 rumah ditenggelami banjir, manakala tanaman padi dan tanaman lain turut rosak. Jalan raya dan wilayah terjejas akibat 11 kejadian tanah runtuh serta banjir di 30 lokasi, menyebabkan kesesakan lalu lintas.

Laluan kereta api Hanoi-Ho Chi Minh City turut ditenggelami air sehingga kira-kira satu meter. Beberapa perkhidmatan kereta api di laluan utara-selatan digantung pada semalam dan Jumaat.

Di wilayah pesisir utara Thanh Hoa, lebih 29,000 pegawai dan anggota tentera dikerahkan bagi membantu operasi kecemasan.

Beberapa sekolah di Hanoi turut beralih kepada pembelajaran dalam talian atau memberi cuti kepada pelajar pada Khamis selepas jalan raya di pusat ibu negara itu ditenggelami air sehingga satu meter, menyebabkan kesesakan lalu lintas teruk, lapor media kerajaan.

Hujan lebat dijangka berterusan dari wilayah Thanh Hoa hingga bandar Hue sepanjang hujung minggu ini, dengan beberapa kawasan diramalkan menerima taburan hujan melebihi 100 milimeter.

Garis pantai Vietnam yang panjang menyebabkan negara itu terdedah kepada ribut yang melanda dari Laut China Selatan, manakala perubahan iklim dan penebangan hutan meningkatkan risiko kerosakan lebih teruk.

Sehingga lima lagi ribut dijangka melanda perairan Vietnam sepanjang baki tahun ini, dengan satu atau dua daripadanya berkemungkinan bergerak ke daratan negara itu.

Bencana alam mengorbankan atau menyebabkan 63 orang hilang di Vietnam pada 2026, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan sekitar 2.2 trilion dong (RM352 juta).- BLOOMBERG

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×