AS guna poligraf buru dalang bocor maklumat senjata

AS guna poligraf buru dalang bocor maklumat bekalan senjata

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) menjalankan ujian poligraf terhadap 50 pegawai tentera dan awam pada Ogos bagi menyiasat kebocoran maklumat mengenai kekurangan bekalan peluru ketika perang dengan Iran, menurut beberapa laporan media AS.

Siasatan itu menyasarkan kakitangan Staf Bersama, kumpulan pemimpin kanan tentera yang menjadi penasihat kepada Presiden AS, dengan tumpuan terhadap kebocoran maklumat mengenai kekurangan peluru berpandu jarak jauh dan pemintas Patriot susulan perang berkenaan, lapor The New York Times.

Presiden AS, Donald Trump, dilaporkan berang dengan kebocoran maklumat tanpa kebenaran itu.

Pegawai yang menjalani ujian poligraf disoal sama ada mereka membocorkan maklumat kepada wartawan mengenai kekurangan kritikal bekalan peluru ketika ketegangan antara AS dan Iran meningkat.

CBS News melaporkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) tidak terlibat dalam ujian berkenaan kerana siasatan dikendalikan penyiasat dalaman tentera.

Bagaimanapun, tidak semua pemimpin kanan tentera menjalani ujian itu. Pengerusi Ketua Turus Bersama, Jeneral Dan Caine, antara yang tidak termasuk dalam siasatan berkenaan.

Menurut CBS News, tiada seorang pun pegawai yang menjalani ujian itu gagal menjawab soalan berkaitan kebocoran maklumat kepada media.

Penyiasat turut meneliti kemungkinan seorang pegawai kerajaan bertindak sebagai perisik asing berikutan akses kepada data khusus mengenai bekalan peluru itu sangat terhad.

Jurucakap Pentagon, Sean Parnell, berkata agensi berkenaan tidak mengulas perkara berkaitan kakitangan atau siasatan dalaman, namun memandang serius kebocoran maklumat sulit dan akan menjalankan siasatan sewajarnya.

Trump menafikan dakwaan mengenai kekurangan strategik bekalan senjata, sebaliknya menegaskan tentera AS mempunyai jumlah senjata yang sangat besar.

Beliau menyifatkan kebocoran itu sebagai kenyataan pengkhianat dan berita palsu, selain memberi amaran mereka yang bertanggungjawab akan diburu dan berdepan hukuman penjara berat.

Ujian poligraf itu dijalankan susulan beberapa kebocoran maklumat tanpa kebenaran lain, termasuk sebahagian kandungan buku arahan Setiausaha Pertahanan.

Dokumen berkenaan menunjukkan enam pegawai berpangkat empat bintang secara rasmi menyuarakan bantahan terhadap usaha melanjutkan perang dengan Iran, sambil memberi amaran konflik itu tidak mampan dan menjejaskan kesiapsiagaan tentera AS di seluruh dunia.

Parnell mengecam kebocoran dokumen itu sebagai ‘jenayah’ dan pengkhianatan terhadap pasukan, selain mendakwa sebahagian besar laporan mengenainya tidak tepat.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×