Meraikan kepelbagaian seni kreatif, inovasi dan teknologi
PETALING JAYA: Festival Seni Kreatif dan TVET Malaysia, ANIFEST, kembali dengan edisi ke-10, ANIFEST-X, yang bakal berlangsung pada 3 dan 4 Oktober 2026 di KL Gateway Mall, Bangsar South, Kerinchi, Kuala Lumpur.
Mengangkat tema ‘1 Dekad Sejuta Inspirasi’, ANIFEST-X menandakan perjalanan sedekad dalam meraikan kepelbagaian seni kreatif, bakat dan idea yang terus berkembang seiring perubahan zaman.
Edisi istimewa ini turut membuka ruang kepada inovasi dan teknologi sebagai pemangkin baharu dalam pengkaryaan, mempertemukan seni, kreativiti, teknologi dan TVET dalam satu ekosistem yang lebih terbuka, dinamik dan inklusif.
ANIFEST-X bukan sekadar meraikan perjalanan 10 tahun, tetapi meraikan sejuta kemungkinan yang lahir daripada kreativiti, keberanian mencuba dan keterbukaan terhadap perubahan.
Sejak penganjuran sulungnya pada tahun 2015, ANIFEST telah berkembang menjadi sebuah platform penting dalam mempertemukan kartunis, pelukis komik, animator, pembangun permainan serta tenaga akademik dan komuniti industri
kreatif.
Lebih daripada sekadar festival, ANIFEST menjadi jambatan integrasi serta jaringan antara warisan seni tempatan dengan arus teknologi global yang pesat berkembang.
Edisi 2026 ini menjanjikan kelainan dengan pengisian acara yang lebih segar dan inklusif:
Pengerusi ANIFEST, Mohd Zahir Zainal Abidin berkata, pengunjung boleh merasai sendiri pengalaman teknologi interaktif seperti Augmented Reality (AR), Virtual Reality (VR) dan Kecerdasan Buatan (AI) dalam kerangka integriti dan penegasan hak cipta karya.
“Perkongsian ilmu daripada pakar akademik dan industri dalam siri forum serta kelas pendidikan, menyentuh aspek peningkatan kemahiran, peluang perniagaan dan variasi seni kreatif.
“TVET Seni Kreatif diangkat sebagai tunjang, melibatkan bidang kartun, komik, animasi dan permainan digital, sekali gus memperkukuh laluan bakat muda ke persada industri seni kreatif,” katanya dalam kenyataan.
Kolaborasi strategik turut menyerlahkan kekuatan ANIFEST -X, membabitkan Persatuan Festival Seni Kreatif & TVET, Malaysia (ANIFEST), KL Gateway Mall sebagai rakan strategik dan lokasi rasmi, Content Forum (CMCF), MDEC, Sahabat Komik (SAKO+) dan Kartun Politan.
Antara acara unik yang dinanti ialah Pertandingan Doodle dan Maraton Komik secara langsung oleh para pengunjung.
Selain itu, pengunjung juga berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik termasuk Lawan Lukis Karikatur Selebriti, Pertandingan Melukis Doodle, Persembahan dan Pertandingan Kosplay, Kelas Lukis Hafal bersama Ustaz Kartun dan Bengkel-bengkel seni untuk semua peringkat umur.
Aktiviti interaktif untuk kanak-kanak dan dewasa yang membolehkanPengunjung merasai denyut nadi ANIFEST.
ANIFEST tahun ini bukan sekadar meraikan kepelbagaian seni kreatif, tetapi turut menzahirkan bagaimana industri kreatif mampu terus bertahan, berkembang dan kekal relevan dengan menyesuaikan diri terhadap perubahan teknologi dan inovasi.
Sepanjang satu dekad, ANIFEST telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan perubahan. Variasi dan adaptasi menjadi antara kunci untuk kita terus melangkah ke hadapan, membuka ruang kepada idea baharu, teknologi baharu dan bentuk pengkaryaan yang lebih kreatif.
Justeru, tema ‘1 Dekad, Sejuta Inspirasi’ bukan hanya meraikan perjalanan 10 tahun ANIFEST, tetapi menjadi simbol kepada sejuta idea, impian dan kemungkinan yang boleh terus dicetuskan melalui seni kreatif, inovasi dan teknologi.
Dengan gabungan elemen seni, teknologi dan komuniti, ANIFEST 10 diyakini akan menjadi fenomena kreatif yang memperkukuh ekosistem seni tempatan, membuka peluang baharu untuk generasi muda, serta menambah warna dalam landskap kreatif serantau.
10 tahun berkarya. Sejuta inspirasi. Tiada batas untuk berimaginasi. – UTUSAN








